
Model baharu PROTON, X90 dilancarkan, harga bermula RM123,800
KUALA LUMPUR – Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON) hari ini melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) model baharu, Proton X90 yang ditawarkan pada harga bermula RM123,800.
Model baharu itu itawarkan dengan empat varian iaitu Proton X90 1.5 TGDI BSG Standard yang dijual pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RM123,800; Proton X90 1.5 TGDI BSG Executive (bermula RM130,800); Proton X90 1.5 TGDI BSG Premium (bermula RM144,800); dan Proton X90 1.5 TGDI BSG Flagship (bermula RM152,800).
Proton X90 dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Menurut PROTON, X90 dihasilkan dari platform Advanced Versatile, dan ia mengambil masa bekerja selama 96,000 jam untuk disiapkan.
Ia membabitkan ujian pemanduan dalam jarak 1.2 juta kilometer, menukar posisi pemanduan dari sebelah kiri ke sebelah kanan.
Proton X90 juga menampilkan 45 peratus kandungan tempatan, dengan 500 komponen dibekalkan oleh vendor tempatan.
Model baharu itu dijana oleh enjin TGDi 1.5 liter yang juga menjadi pemenang anugerah, yang dipadankan dengan sistem sinergi motor elektrik 48V, sekali gus menjanjikan penjimatan penggunaan bahan api, pelepasan karbon yang lebih rendah, prestasi yang lebih baik dan pengalaman pemanduan yang lebih lancar.
Dari aspek rekaan luaran, Proton X90 tidak lagi menggunakan rekaan gril Infinite Weave seperti model terkini Proton yang lain, tetapi digantikan dengan rekaan seakan batu permata atau pin krom.
Gril berkenaan diapit oleh sepasang lampu hadapan LED yang juga menerima rekaan berbeza dari kembarnya di China dan Filipina iaitu Geely Haoyue/Okavango.
Ia membolehkan kluster lampu berkenaan menerima empat unit LED yang disusun, selain model berkenaan menerima lampu isyarat membelok LED dengan corak pencahayaan jenis ‘sequential’.
Proton X90 dijana oleh unit rangkaian kuasa hibrid ringkas 48-volt (MHEV), menjadikan ia bukan sahaja model hibrid pertama PROTON, malah kenderaan tenaga baharu pertama bagi jenama automotif berkenaan.
Unit MHEV berkenaan menampilkan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan suntikan bahan api terus (T-GDI) dan dibantu oleh unit stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG) bagi menghasilkan kuasa maksima 190 PS bersama tork maksima 300 Nm.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















