Mini Karnival Masjid Negara 2025 sasar 2,000 pengunjung, perkukuh peranan masjid dalam masyarakat
KUALA LUMPUR — Masjid Negara bakal menganjurkan Mini Karnival Masjid Negara 2025 sempena sambutan Bulan Kemerdekaan yang dijadual berlangsung pada 23 Ogos ini dengan menyasarkan kehadiran lebih 2,000 pengunjung.
Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni berkata, program itu merupakan inisiatif untuk memperkasa institusi masjid melalui pendekatan lebih mesra komuniti.
“Karnival itu bertujuan menghebahkan aktiviti serta peranan unit-unit di bawah pentadbiran Masjid Negara. Fokus utama adalah pelajar sekolah menengah, namun turut melibatkan kanak-kanak menerusi pertandingan seperti mewarna dan azan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Lauk & Liputan: Sembang Santai Masjid Negara dan merasmikan pelancaran rasmi mini karnival berkenaan di sini, hari ini.
Menurutnya, mini karnival itu juga terbuka kepada masyarakat umum termasuk pelancong dengan penyediaan 10 gerai jualan dan pameran yang dijangka menarik kunjungan ramai.
“Walaupun tiada program khusus untuk non-Muslim, mereka tetap dialu-alukan untuk hadir dan merasai kemeriahan serta menyokong usaha kami melalui kunjungan ke gerai-gerai yang disediakan,” katanya.
Tambah beliau, karnival tersebut dianjurkan sepenuhnya oleh pihak Masjid Negara dengan peruntukan kira-kira RM70,000, berbeza dengan karnival terdahulu yang diadakan di peringkat pusat seperti Karnival Halal anjuran JAKIM.
“Persiapan dibuat dalam tempoh sebulan sahaja. Ini bukan karnival berskala besar seperti sebelum ini namun tetap membawa impak kepada masyarakat,” katanya.
Antara pengisian utama termasuk Program Eksplorasi Iman dan Kemerdekaan yang akan melibatkan penyertaan 30 hingga 40 buah sekolah.
“Sebagai daya tarikan tambahan, kita akan adakan cabutan bertuah semasa majlis penutupan. Antara hadiah menarik termasuk skuter dan televisyen” katanya.
Ehsan turut menyeru orang ramai khususnya warga Kuala Lumpur untuk hadir memeriahkan acara tersebut.
“Saya mengharapkan masyarakat sekitar dapat meluangkan masa pada 23 Ogos ini untuk bersama kami di Masjid Negara.
“Semua kanak-kanak yang hadir bersama ibu bapa mereka dialu-alukan menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ehsan turut menyifatkan media sebagai rakan strategik penting dalam menyampaikan mesej Islam yang inklusif serta memperkenalkan fungsi sebenar masjid kepada masyarakat.
“Hubungan strategik antara institusi masjid dan pengamal media amat penting. Media bukan sekadar menyampaikan berita tetapi turut membentuk kefahaman masyarakat terhadap isu-isu agama dan sosial,” katanya ketika berucap dalam program sama.
Menurut beliau, Masjid Negara berperanan sebagai pusat dakwah, pendidikan, kebajikan dan perpaduan ummah yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia, bukan hanya jemaah sekitar ibu negara.
“Kami melihat media sebagai medium penting untuk menyebarkan maklumat mengenai pelbagai aktiviti masjid yang menyatukan komuniti,” katanya.
Ehsan turut merakamkan penghargaan kepada semua wakil media arus perdana, digital dan media sosial yang hadir dan menyokong usaha penganjuran Mini Karnival tersebut.
“Saya amat menghargai setiap laporan dan penulisan yang beretika, telus dan membina. Dengan sokongan rakan media, kami yakin mini karnival itu mampu menjadi platform dakwah dan perpaduan yang berkesan dalam suasana sambutan kemerdekaan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








