MTHQA ke-65 buka tirai malam ini
KUALA LUMPUR – Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) kali ke-65 1447H/2025M bakal membuka tirainya malam ini.
Seramai 71 orang qari dan qariah, hafiz dan hafizah terbaik dari 49 buah negara akan bersaing dalam memperdengarkan keindahan bacaan dan hafazan Al-Quran di hadapan jemaah hakim serta khalayak tempatan dan antarabangsa.

“MTHQA bukan sekadar acara keagamaan, bahkan menjadi wahana ukhuwah dan simbol penyatuan ummah yang menzahirkan Islam yang terus mekar di bumi Malaysia.
“Dengan berpaksikan semangat Malaysia MADANI, acara ini mencerminkan komitmen negara dalam memartabatkan Al-Quran di pentas dunia, sekali gus memperkukuh imej Malaysia sebagai peneraju dalam penghayatan Islam yang progresif dan penuh hikmah,” kata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu kenyataan.
Persiapan rapi sedang dijalankan JAKIM dengan kerjasama erat pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan kelancaran majlis yang dijadualkan berlangsung selama lapan hari di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dari 2 hingga 9 Ogos 2025.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan suasana dan menyelami pengalaman rohani yang mengangkat martabat kalamullah suatu persembahan agung daripada para qari dan hafiz yang membawa suara Islam dari pelbagai benua.
Inilah masanya untuk rakyat Malaysia menyaksikan keindahan Al-Quran yang merentas bangsa, bahasa dan sempadan.
MTHQA kali ke-65 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM pada jam 8.25 malam serta melalui platform media sosial rasmi JAKIM bagi membolehkan masyarakat global turut sama menghayatinya dari jauh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







