BERITA SEMASA

Menteri, Ahli Parlimen hadir di Seri Perdana, hadiri taklimat prapersidangan Dewan Rakyat

PUTRAJAYA – Kenderaan membawa Jemaah Menteri, Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan dan ketua jabatan kerajaan dilihat memasuki perkarangan Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini bagi menghadiri taklimat prapersidangan Dewan Rakyat.

Kenderaan Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen dilihat mula memasuki kompleks berkenaan bermula pukul 1.30 petang tadi.

Kenderaan yang membawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof masuk ke kompleks itu pada pukul 2.10 petang.

Antara yang kelihatan tiba awal Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.

Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan bermula esok dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada istiadat pembukaan mesyuarat itu menjadi tumpuan utama.

Seri Paduka Baginda dijadual menyampaikan Titah Diraja bagi perasmian kedua-dua dewan, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Pertemuan Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dijadualkan bermula pukul 2.30 petang dijangka membabitkan taklimat berkaitan isu semasa dan perkembangan dasar kerajaan.

Antara perkara dijangka dibincangkan termasuk berkaitan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh.

Perbincangan dijangka turut membabitkan RUU mengenai pemisahan kuasa Pendakwa Raya dengan Peguam Negara, RUU Ombudsman dan RUU Kebebasan Maklumat (FOI) yang banyak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ramai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button