BERITA SEMASA

Malaysia tuan rumah CONSAL XIX, perkukuh perpaduan dan akses ilmu di Asia Tenggara

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada Congress of Southeast Asian Librarians ke-19 (CONSAL XIX) yang akan berlangsung pada 16 hingga 19 Jun 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Kementerian Perpaduan dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan perasmian acara tersebut dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Penganjuran CONSAL XIX kali ini amat signifikan kerana ia berlangsung selari dengan Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.

“Selain itu, ia juga mencerminkan komitmen negara dalam memperkukuh jaringan kerjasama serantau yang berpaksikan kepada nilai perpaduan, ilmu pengetahuan dan pembangunan masyarakat yang inklusif,” menurut kenyataan itu.

Bertemakan ‘Leveraging Inclusivity, Empowering Humanity’, persidangan antarabangsa itu akan memberi fokus kepada peranan perpustakaan rakan strategik dalam pembangunan komuniti, pemangkin ekosistem ilmu untuk golongan terpinggir dan kurang upaya serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dalam usaha merapatkan jurang sosial.

CONSAL ditubuhkan pada tahun 1970 hasil inisiatif bersama pustakawan dari Malaysia dan Singapura. Ia kini menjadi platform penting yang menghimpunkan para pustakawan, institusi perpustakaan, sekolah kepustakawanan dan profesional maklumat dari seluruh Asia Tenggara.

Keahliannya merangkumi penyertaan daripada 10 negara anggota ASEAN iaitu Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

“Kerajaan MADANI komited untuk menjayakan penganjuran kali ini bersama institusi perpustakaan tempatan sebagai wadah penting mempromosikan perpustakaan sebagai pemacu transformasi sosial dan pemerkasaan insan, seiring dengan matlamat perpaduan nasional dan serantau,” kata kenyataan itu lagi.

Persidangan itu juga dijangka menjadi medan pertukaran idea, inisiatif dan amalan terbaik dalam bidang kepustakawanan serta membuka ruang lebih luas bagi kolaborasi ilmu merentas sempadan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button