Malaysia tegas, konsisten kutuk serangan ke atas Iran
PUTRAJAYA – Malaysia berpendirian tegas dan konsisten dalam mengutuk serangan Israel ke atas Iran yang didukung Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu turut ditekankan kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi sewaktu berhubung dengan pemimpin itu, petang tadi.
Anwar berkata, Malaysia dan India sepakat untuk menyeru kepada penghentian segera pertempuran serta menggembleng usaha untuk menjunjung suara damai, diplomasi dan dialog yang sihat.
“Saya telah berhubung dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi lewat petang tadi. Saya hargai ucapan beliau kepada keluarga dan rakyat Malaysia bersempena sambutan Eidulfitri Mubarak yang bakal tiba.
“Perbincangan kami bertumpu pada perkembangan mutakhir di Asia Barat yang kian memburuk, apatah lagi di bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi medan damai dan ketenangan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar berkata, mereka turut sepakat bahawa Malaysia dan India mesti berganding bahu memperkukuh suara kolektif di semua pentas antarabangsa, termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan BRICS.
“Walhasil, kerjasama padu ini menjadi semakin mendesak tatkala dunia dirundung suasana ekonomi global yang kelam, termasuk memberi kesan kepada aspek keterjaminan makanan.
“Insya Allah, Malaysia dan India akan terus memperkukuh iltizam bersama demi keamanan sejagat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















