Malaysia-Ethiopia perkukuh kerjasama, sasar pasaran baharu
ADDIS ABABA – Malaysia komited meneroka pasaran baharu dengan memanfaatkan kedudukan strategik Ethiopia yang menjadi pusat Kesatuan Afrika (AU), memperkukuh hubungan dua hala dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama pelbagai sektor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan bersama rakan sejawatnya, Dr Abiy Ahmed Ali, berlangsung secara menyeluruh dengan tumpuan terhadap kekuatan dan potensi kedua-dua negara.
“Sebagai negara perdagangan, visi Malaysia ialah memperluas dan meneroka pasaran baharu, khususnya di Afrika dan Amerika Latin.
“Usaha diplomatik yang kita jalankan akhirnya membawa kepada asas ekonomi yang lebih kukuh,” memetik laporan Berita RTM.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kedudukan Ethiopia amat strategik kerana menjadi lokasi ibu pejabat AU, sekali gus membuka ruang Malaysia mengukuhkan hubungan dengan rantau Afrika melalui platform multilateral.
Beliau turut menegaskan Malaysia akan memanfaatkan mekanisme seperti Kumpulan 20 (G20) untuk memperkukuh hubungan tradisi dengan Amerika Syarikat, Eropah dan China.
Sementara itu, Abiy menyifatkan pertemuan tersebut sebagai produktif dan penuh visi, selain memperkukuh komitmen bersama memperluaskan kerjasama dalam sektor tumpuan.
“Kami membincangkan kerjasama perindustrian dan pelaburan. Ethiopia mahu berkembang dengan mencontohi kejayaan industri Malaysia serta menarik pelaburan dalam taman perindustrian, pemprosesan agro dan sektor elektronik.
“Kami juga berbincang mengenai ekonomi digital, kewangan korporat, inovasi berasaskan data dan usaha meningkatkan keterangkuman kewangan,” katanya lagi.
Menurut Abiy, pembangunan kemahiran dan penyelarasan latihan selaras keperluan industri turut diberi tumpuan bagi meningkatkan peluang pekerjaan kepada belia Ethiopia.
Beliau berkata, lawatan Anwar sebagai pembuka lembaran baharu kerjasama Selatan-Selatan berasaskan keharmonian, solidariti dan keterangkuman.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) melibatkan kerjasama kesihatan, perjanjian perkhidmatan udara dan kerjasama sektor pelancongan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















