BERITA SEMASAPMX

Malaysia bantah tindakan Norway batal lesen eksport peluru berpandu – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan bantahan keras Malaysia terhadap keputusan unilateral Norway membatalkan lesen eksport bagi sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) dan sistem pelancar berkaitannya.

Anwar berkata, bantahan itu disampaikan secara langsung menerusi perbualan telefon dengan Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store susulan tindakan yang disifatkan tidak boleh diterima dan memberi kesan besar kepada kesiapsiagaan pertahanan negara.

“Malaysia telah memenuhi setiap obligasi di bawah kontrak berkenaan sejak 2018 dengan penuh tanggungjawab, teliti dan tanpa sebarang pelanggaran syarat.

“Namun, Norway dilihat tidak menunjukkan tahap komitmen dan niat baik yang sama terhadap Malaysia,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Berdasarkan laman web syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu.

Perdana Menteri menegaskan keputusan Norway itu akan memberi implikasi serius terhadap tahap kesiapsiagaan operasi pertahanan Malaysia, selain menjejaskan program pemodenan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS).

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan berkenaan berpotensi membawa kesan lebih luas terhadap keseimbangan keselamatan serantau.

“Kontrak yang ditandatangani adalah instrumen yang serius dan mengikat. Ia bukan sesuatu yang boleh diperlakukan secara sewenang-wenangnya,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya pembekal pertahanan dari Eropah mengambil sikap boleh menarik diri daripada komitmen sesuka hati tanpa sebarang akibat, maka kredibiliti mereka sebagai rakan strategik akan terhakis.

Sebelum ini, Norway dilaporkan mengambil keputusan membatalkan lesen eksport sistem NSM atas alasan melindungi kepentingan keselamatan negara itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button