Majlis Media Malaysia buka mekanisme aduan rasmi tangani isu etika media
KUALA LUMPUR – Mekanisme aduan rasmi Majlis Media Malaysia (MMM) kini dibuka dan beroperasi sepenuhnya sebagai saluran berinstitusi bagi menangani isu berkaitan amalan kewartawanan, etika media serta kandungan berita secara profesional, adil dan berhemah.
Pembukaan mekanisme itu dimaklumkan MMM susulan Mesyuarat Lembaga yang berlangsung pada 20 dan 21 Januari lalu di Ibu Pejabat Media Prima, Bangsar.
Menurut MMM, mesyuarat itu bertujuan menyelaraskan hala tuju strategik Majlis serta memperkukuh peranan kawal selia kendiri media dalam mendepani sensitiviti awam yang semakin meningkat terhadap pelaporan berita.
“Lembaga membincangkan keperluan memperkukuh kawal selia kendiri media, meningkatkan akauntabiliti profesional dan menyediakan mekanisme berinstitusi bagi mengurus aduan media, khususnya dalam suasana sensitiviti awam yang semakin meningkat terhadap kandungan berita,” katanya dalam kenyataan.
MMM menegaskan, isu berkaitan kandungan media, termasuk kes melibatkan China Press yang mencetuskan perdebatan awam baru-baru ini wajar ditangani melalui saluran profesional dan berinstitusi, bukannya melalui tekanan, intimidasi atau tindakan punitif.
Majlis itu turut mengambil maklum laporan polis yang dibuat oleh pihak tertentu, serta kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, yang menggesa MMM memastikan pematuhan etika kewartawanan dan mempromosikan pelaporan bertanggungjawab, khususnya dalam kalangan ahli-ahlinya.
“Peranan MMM sebagai platform kawal selia kendiri adalah untuk mengendalikan aduan berkaitan media secara profesional dan berintegriti,” menurut kenyataan itu.
Baca juga : MMM perlu perkukuh asas sebelum berfungsi sepenuhnya – Fahmi Fadzil
Orang awam, wartawan, organisasi media dan pihak berkepentingan boleh mengemukakan sebarang aduan melalui emel aduan@majlismedia.my
atau laman web rasmi MMM.
Mekanisme ini dikendalikan di bawah Jawatankuasa Kod Tatakelakuan dan Aduan serta berfungsi sebagai saluran bebas, telus dan tidak bersifat menghukum, selaras dengan prinsip kebebasan media.
Pengerusi Jawatankuasa Kod Tata Kelakuan dan Aduan, Esther Ng berkata, MMM telah membincangkan secara menyeluruh dan bersetuju dengan mekanisme pengendalian aduan yang ditetapkan.
“Usaha tersebut membuka laluan untuk kami melaksanakan tugas secara teratur dan sistematik dengan prosedur operasi standard yang jelas. Mekanisme ini antara tanggungjawab paling penting Majlis dan perlu digerakkan dengan segera,” katanya.
MMM menegaskan perbezaan pandangan atau ketidakpuasan terhadap laporan media harus disalurkan melalui mekanisme aduan yang sah dan beretika bagi mengelakkan ketegangan yang boleh menjejaskan keselamatan wartawan, kebebasan media dan kepercayaan awam.
Selaras dengan Akta Majlis Media Malaysia, organisasi media yang menjadi ahli MMM turut dikehendaki mewujudkan mekanisme aduan dalaman masing-masing.
Walau bagaimanapun, dalam tempoh interim, aduan berkaitan media masih boleh dikemukakan terus kepada MMM melalui saluran yang disediakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








