MMM perlu perkukuh asas sebelum berfungsi sepenuhnya – Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA – Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) kini berada pada fasa awal dengan beberapa perkara asas perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum dapat beroperasi secara rasmi dan berkesan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan oleh ahli-ahli jawatankuasa MMM yang memerlukan sedikit masa untuk menguruskan aspek pentadbiran serta struktur asas sebelum majlis berkenaan dapat bergerak aktif.

“Saya sangat gembira dapat bertemu dengan ahli-ahli jawatankuasa MMM dan ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha menubuhkan majlis ini.
“Mereka memaklumkan sebelum boleh berjalan, kena bertatih dahulu. Jadi ada beberapa perkara asas yang perlu diuruskan terlebih dahulu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.
Menurut Fahmi, antara fokus awal MMM ialah menyelesaikan urusan pentadbiran sebelum memberi tumpuan kepada isu-isu teras termasuk penggubalan kod etika kewartawanan serta mekanisme menerima aduan orang ramai berkaitan pelaporan media.
@malaysiatribune Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) kini berada pada fasa awal dengan beberapa perkara asas perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum dapat beroperasi secara rasmi dan berkesan. #malaysiatribune #beritasemasa #mcmc #media
“Mereka memerlukan sedikit masa untuk menguruskan aspek-aspek pentadbiran dan selepas perkara asas ini dapat diselesaikan, mereka memberi komitmen untuk menguruskan isu kod etika wartawan.
“Ia termasuk mekanisme bagi menerima aduan daripada orang ramai berhubung isu berkaitan pelaporan media,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terbaharu penubuhan MMM yang bertujuan menjaga kepentingan industri media dan akhbar, di samping memastikan kepentingan negara terus terpelihara.
Dalam pertemuan sama, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan turut berkongsi maklumat berkaitan Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta yang baru sahaja menutup fasa pertama permohonan.
Beliau berkata, dana itu disediakan bagi membantu organisasi media khususnya media legasi seperti akhbar, radio dan televisyen dalam usaha melalui proses pendigitalan dan memanfaatkan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Penggunaan teknologi ini bukan bertujuan membuang pekerja atau menggantikan wartawan serta jurukamera, sebaliknya untuk mendampingi dan memperkasa mereka.
“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada MMM dan mereka amat menghargai usaha berkenaan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







