BERITA SEMASA

Tidak wajar pegawai awam ugut, sekat kebebasan media – Majlis Media Malaysia

CYBERJAYA – Majlis Media Malaysia (MMM) menegaskan wakil kerajaan berhak menyuarakan pandangan mereka, namun adalah tidak wajar bagi mereka mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap sebagai ugutan atau usaha menyekat kebebasan media.

MMM dalam satu kenyataan berkata, sudah menjadi tugas wartawan untuk bertanya soalan dan mendapatkan penjelasan mengenai dasar, program serta tindakan kerajaan, lapor Sinar Harian, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, ia juga merupakan amalan kewartawanan yang baik untuk mengesahkan fakta dan menjelaskan sesuatu perkara sebelum diterbitkan.

Kenyataan MMM itu bagi mengulas tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang dilihat sebagai cubaan mengugut seorang wartawan ketika sesi prapelancaran projek ‘I Lite U’ sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Nga dilaporkan berkata: “Saya akan ingat, dan saya akan hubungi ketua editor anda. Saya tidak mahu anda datang ke sini dan merosakkan majlis dengan soalan seperti itu,” yang memberi gambaran beliau akan menghubungi pengarang Utusan Malaysia untuk membuat aduan.

“(Bagaimanapun) Kami turut mengambil maklum secara positif bahawa Nga Kor Ming telah mengakui kenyataannya yang tidak wajar dan telah memohon maaf.

“Beliau juga bersedia untuk bertemu dengan pihak berkaitan bagi menjernihkan keadaan.

“Majlis melihat pendekatan sebegini sebagai konstruktif dan menggalakkan dialog terbuka untuk menyelesaikan isu tersebut,” kata kenyataan itu, hari ini.

MMM turut mengalu-alukan penegasan semula kerajaan mengenai hak wartawan untuk bertanya soalan berkaitan tanpa rasa takut atau ancaman.

“Kami menghargai kenyataan yang dibuat oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, susulan perbincangan Jemaah Menteri mengenai kejadian tersebut.

“Beliau menegaskan kepentingan melindungi hak dan tanggungjawab wartawan untuk menyoal menteri serta pegawai kerajaan mengenai isu berkepentingan awam, iaitu satu prinsip asas kepada ketelusan dan akauntabiliti.

“Bagaimanapun, jika ada wartawan bertindak secara tidak wajar semasa menjalankan tugas, tindakan yang sewajarnya akan diambil dengan membangkitkan isu tersebut kepada penerbit. Jika tidak dapat diselesaikan, mereka boleh mengemukakan aduan rasmi kepada majlis,” kata kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button