BERITA SEMASA

Mahkamah Persekutuan kekalkan pembebasan Syed Saddiq

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kekal dibebaskan daripada sabitan dan hukuman bagi empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Keputusan itu dibuat Mahkamah Persekutuan hari ini menerusi keputusan majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Hakim Che Mohd Ruzima dan Collin membentuk keputusan majoriti untuk menolak rayuan pihak pendakwaan sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq, manakala Abu Bakar menyampaikan penghakiman berbeza.

Syed Saddiq yang berada di galeri awam kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan, memetik laporan Metro Online.

Dengan keputusan itu, beliau kekal dibebaskan daripada semua pertuduhan yang dihadapinya sejak 2020.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali, melakukan pecah amanah membabitkan dana ARMADA berjumlah RM1 juta di sebuah bank di KL Sentral pada 6 Mac 2020.

Beliau turut didakwa menyalahgunakan wang RM120,000 milik ARMADA Bumi Bersatu Enterprise, selain berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan pemindahan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya.

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi mensabitkan Syed Saddiq atas semua pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 25 Jun tahun lalu membenarkan rayuannya dengan mengetepikan sabitan dan hukuman tersebut selepas mendapati keputusan Mahkamah Tinggi tidak selamat untuk dikekalkan.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan pembebasan itu.

Rayuan akhir didengar selama dua hari sebelum hujahan selesai dikemukakan pada 12 Disember 2025.

Sepanjang prosiding, pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini adalah muktamad, sekali gus menamatkan prosiding perundangan yang dihadapi Syed Saddiq berhubung kes dana ARMADA.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button