DALAM NEGERI

Lima maut, tayar treler pecah punca nahas di Lebuhraya PLUS

KLUANG – Kemalangan tragis di Kilometer 58.1 Lebuhraya PLUS arah selatan mengorbankan lima nyawa, termasuk sepasang suami isteri dan anak mereka, selepas sebuah treler hilang kawalan akibat tayar pecah, malam tadi.

Insiden yang berlaku sekitar jam 11.30 malam itu melibatkan empat kenderaan, dengan dua daripadanya terbakar. Selain lima mangsa yang maut, lapan individu turut cedera, termasuk tiga yang dilaporkan parah.

Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stepwagon Spada, Nasaarudin Pardi, 36; isterinya, Siti Khazira Bani, 35; dan anak mereka, Mariam, 2, dari Kota Tinggi. Turut maut ialah pemandu Proton X50, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, dari Nilai, Negeri Sembilan, serta seorang penumpang hadapan kereta itu yang masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata kemalangan berlaku apabila tayar depan kanan treler dipandu Abdul Rahman Muhammad Rashid Rajos, 35, pecah, menyebabkan kenderaan berat itu hilang kawalan sebelum bergesel dengan Toyota Camry dipandu Ow Yang Meng.

Lima maut termasuk suami isteri dan anak perempuan mereka berusia dua tahun dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk treler di Kilometer 58.1, Lebuhraya PLUS arah selatan, Kluang.

“Treler tersebut kemudian memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton X50 dan Honda Stepwagon, menyebabkan kedua-dua kenderaan itu mengalami hentaman kuat. MPV yang dipandu Nasaarudin turut terbakar sepenuhnya, namun pemandu dan penumpangnya berjaya dikeluarkan sebelum api merebak,” katanya.

Menurut Bahrin, tiga anak Nasaarudin yang berusia empat, tujuh dan sembilan tahun mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajah Khalsom.

Selain pemandu treler dan Ow Yang Meng, tiga lagi mangsa yang cedera ialah penumpang Toyota Camry, Ow Yang Jun, 37; Soon Kim Ti, 25; dan Ow Yu Cheng, 2.

Polis telah menahan pemandu treler bagi membantu siasatan, namun ujian air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah. Identiti tiga anak mangsa yang parah masih belum dikenal pasti kerana dokumen pengenalan mereka terbakar bersama kenderaan dinaiki.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Nizar Mamun, berkata seramai 13 anggota dari BBP Renggam dan Kulai bersama tiga jentera dikerahkan ke lokasi bagi operasi menyelamat.

“Setibanya pasukan bomba, kami mendapati kebakaran melibatkan MPV Honda Stepwagon dan treler. Api berjaya dikawal sebelum merebak ke kawasan lain,” katanya.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button