LUAR NEGARA

Lima berjaya diselamatkan, dua lagi masih sesat dalam gua di Loa

XAYSOMBOUN (Loas) – Lima individu yang terperangkap selama seminggu di dalam sebuah gua yang dilanda banjir di negara ini berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat, manakala operasi mengesan dua lagi mangsa masih diteruskan.

Pasukan penyelamat memaklumkan kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil dan bersemangat tinggi meskipun berdepan situasi sukar sepanjang terperangkap di dalam gua berkenaan.

Seorang penyelam yang terlibat dalam operasi itu, Mikko Paasi berkata, usaha pencarian selama beberapa hari akhirnya membuahkan hasil apabila mangsa ditemui di bahagian hujung gua.

“Operasi membawa keluar mangsa masih belum selesai dan ia bukan tugas mudah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut beliau, pasukan penyelamat perlu menyelam semula bagi menghantar bekalan tambahan kepada mangsa untuk memulihkan tenaga sebelum proses membawa mereka keluar dijalankan.

Paasi sebelum ini pernah terlibat dalam operasi menyelamat 12 remaja lelaki dan jurulatih bola sepak yang terperangkap dalam gua dinaiki air di Thailand pada tahun 2018.

Sementara itu, ketua pasukan penyelamat Thailand, Kengkard Bongkawong berkata, setakat pukul 4.30 petang, lima mangsa berjaya ditemukan manakala usaha mencari dua lagi individu masih diteruskan.

Media tempatan melaporkan tujuh penduduk kampung warga Laos dipercayai memasuki gua di wilayah Xaysomboun pada 20 Mei lalu sebelum terperangkap selepas paras air meningkat secara mendadak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button