Lapan kanak-kanak terperangkap kepala air di Cameron Highlands diselamatkan
KUALA TERLA – Lapan kanak-kanak lelaki berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian kepala air di Sungai Menson, Perkampungan Orang Asli Kampung Terisu di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, semua mangsa berusia antara empat hingga 12 tahun dilaporkan cuba menyeberangi sungai sebelum arus air tiba-tiba menjadi deras akibat kepala air.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, keadaan itu menyebabkan kesemua mangsa terpaksa berlindung di atas batu besar di tengah sungai bagi mengelakkan dihanyutkan arus.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 5.10 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands digerakkan ke lokasi.
“Pasukan tiba sekitar jam 5.47 petang dan mendapati semua mangsa masih berada di atas batu dalam keadaan cemas.
“Operasi menyelamat dijalankan menggunakan teknik tali keselamatan berikutan keadaan arus sungai yang deras,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, jarak antara tebing sungai dan lokasi mangsa dianggarkan kira-kira 20 meter, sekali gus menyukarkan usaha menyelamat dilakukan secara terus.
“Operasi turut dibantu anggota dari BBP Ringlet dan polis bagi memastikan keadaan terkawal sepanjang operasi dijalankan.
“Selepas hampir dua jam operasi, kesemua mangsa berjaya dibawa keluar sekitar jam 7.58 malam tanpa sebarang kecederaan serius,” katanya lagi.
Menurut beliau, semua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dipulangkan kepada keluarga masing-masing.
Operasi ditamatkan selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















