LHDN yakin capai sasaran kutipan cukai
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjangkakan sasaran kutipan cukai sebanyak RM176 bilion tahun ini mampu dicapai malah mungkin melepasi jumlah tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi (gambar) berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan angka kutipan terkini yang berjaya dipungut.

“Saya tidak boleh bagi angkanya lagi, tetapi jika dibandingkan dengan angka kutipan tahun lepas, secara harian kini kutipan melebihi 20 peratus (daripada tahun lepas),” kata Mohd Nizom.
“Pada masa ini kita berada pada tahap yang sangat menggalakkan dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pembayar cukai yang telah menunjukkan tahap pematuhan yang tinggi.
“Kami yakin dapat mencapai sasaran yang diumumkan dalam Bajet 2023 dan kami berharap dapat melepasinya jika boleh,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri LHDN, di sini hari ini.
Pada 2022, LHDN membuat kutipan cukai langsung tertinggi sebanyak RM175.4bil, meningkat 21.75% berbanding kutipan pada 2021.
Ditanya sama ada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini oleh Bank Negara akan memberi kesan kepada kutipan cukai LHDN, Mohd Nizom berkata: “Ia akan memberi kesan tidak langsung tetapi ia tidak serta-merta.”
Pada 3 Mei, OPR dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 3%, kenaikan pertama sejak November 2022.
Ini adalah kali pertama tahun ini OPR dinaikkan selepas dikekalkan pada 2.75% oleh Bank Negara pada Januari dan Mac tahun ini.
Terdahulu, dalam ucapan alu-aluannya, Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong berkata LHDN berada di landasan yang betul untuk melepasi sasaran kutipan cukainya.
“Sehingga kini, terdapat trend positif di mana kutipan adalah 20 peratus lebih tinggi berbanding kutipan harian bagi tempoh yang sama tahun lalu,” katanya sambil menambah rekod sebelum ini berkemungkinan akan dipecahkan.
Steven turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan menggunakan cukai yang dikutip untuk program dan projek untuk memberi manfaat kepada rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







