JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki maut, kenderaan dihanyut arus akibat banjir di Tawau

TAWAU – Cubaan meredah laluan dinaiki air akibat banjir berakhir tragedi apabila seorang lelaki maut manakala tiga lagi terselamat selepas kenderaan pacuan empat roda dan dua motosikal dihanyutkan arus deras di Kampung Sungai Udin, di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 9.34 malam.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membawa dua motosikal cuba melalui jalan yang ditenggelami air sebelum dihanyutkan arus banjir yang deras.

“Dua lelaki berada di dalam kenderaan pacuan empat roda manakala dua lagi merupakan penunggang motosikal yang menumpang di bahagian belakang pikap berkenaan.

“Tiga mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua mangsa lelaki masing-masing berusia 27 dan 23 tahun yang berada di dalam kenderaan pacuan empat roda serta seorang penunggang motosikal lelaki disahkan selamat.

Susulan laporan itu, pasukan dari BBP Tawau dengan kekuatan lapan anggota dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Merotai dan PBS Umas digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 45 kilometer dan tiba pada pukul 10.47 malam.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan menggunakan kaedah pencarian permukaan di sepanjang tebing sungai dalam radius kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai dihanyutkan arus.

“Mangsa ditemukan pada pukul 7.15 pagi ini oleh seorang pekerja ladang kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian sebelum disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa dibawa keluar oleh pasukan bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya sambil memaklumkan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.44 pagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button