Lelaki maut dihempap jentera gerudi cerucuk
LAWAS – Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya dihempap sebuah jentera gerudi cerucuk yang tumbang di Kampung Peruan, Jalan Long Tuma, di sini petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul 4.55 petang itu, mangsa dikenali sebagai Bili Muli, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di dalam kenderaan Mitsubishi Triton yang remuk teruk.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

Menurut laporan Komander Operasi, PBK II Shahnizam Japaduli, pasukan bomba mendapati jentera cerucuk berkenaan tumbang sepenuhnya ke atas kenderaan mangsa.
“Anggota kemudian menggunakan peralatan khas kemalangan (RTA) untuk melakukan kerja-kerja pemotongan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam satu kenyataan.
Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Operasi menyelamat dikawal sepenuhnya pada pukul 5.35 petang dan tamat pada 6.45 petang.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala punca kejadian masih dalam siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








