
Lelaki maut, kanak-kanak cedera ditembak di pusat beli-belah di Ireland
DUBLIN – Seorang lelaki maut manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun cedera dalam satu insiden tembakan yang menggemparkan orang awam di sebuah pusat beli-belah di Carlow, Ireland semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang waktu tempatan, suspek melepaskan beberapa das tembakan di pasar raya Tesco yang terletak di Fairgreen Shopping Centre sebelum dipercayai menembak dirinya sendiri di luar premis berkenaan.
Polis Ireland memaklumkan, suspek adalah seorang lelaki tempatan berusia awal 20-an yang sedang dalam tempoh jaminan berkaitan kesalahan melibatkan senjata api. Dia disahkan maut di lokasi kejadian.
Sementara itu, mangsa kanak-kanak yang turut berada di lokasi mengalami kecederaan ringan dan diberi rawatan awal di tempat kejadian. Keadaan mangsa dilaporkan stabil.
Menurut kenyataan, kawasan pusat beli-belah itu telah dikosongkan sejurus insiden berlaku, manakala pasukan Ordnans Letupan Tentera turut dipanggil sebagai langkah keselamatan tambahan.
“Kami meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau rakaman kejadian untuk menghubungi Balai Polis Carlow bagi membantu siasatan,” kata kenyataan itu semalam.
Menteri Kehakiman Ireland, Jim O’Callaghan dalam reaksinya menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi yang mengejutkan dan menggesa siasatan rapi dijalankan segera.
Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak berkuasa turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang video atau maklumat yang belum disahkan di media sosial.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








