Sembilan maut dalam insiden tembakan di kawasan perlombongan emas Johannesburg
JOHANNESBURG –Sembilan maut manakala 10 lagi cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah bar di luar bandar raya ini dalam insiden tembakan rambang kedua di Afrika Selatan bulan ini.
Serangan itu berlaku pada awal pagi di sebuah kedai minuman di kawasan perbandaran miskin Bekkersdal, sebuah kawasan perlombongan emas kira-kira 40 kilometer di barat daya Johannesburg.
Polis sebelum ini melaporkan 10 kematian, namun angka itu disemak semula kepada sembilan mangsa.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Wilayah, Mejar Jeneral Fred Kekana berkata, kebanyakan penyerang bersenjatakan pistol manakala seorang lagi membawa senapang jenis AK-47.
“Mereka memasuki premis berkenaan dan menembak secara rawak ke arah pelanggan tanpa sebarang provokasi,” katanya kepada stesen televisyen SABC di lokasi kejadian.
Menurut beliau, tiga mangsa maut di dalam bar manakala selebihnya ditembak ketika cuba melarikan diri.
Kekana turut memaklumkan bahawa suspek dipercayai menggeledah mangsa selepas melepaskan tembakan dan melarikan barangan berharga termasuk telefon bimbit.
Antara yang terkorban ialah seorang pemandu perkhidmatan e-hailing yang kebetulan melalui kawasan tersebut ketika kejadian berlaku.
Insiden itu berlaku kurang dua minggu selepas serangan tembakan di sebuah bar berhampiran Pretoria pada 6 Disember lalu yang mengorbankan 12 nyawa, termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.
Afrika Selatan, negara paling maju di benua Afrika terus bergelut dengan kadar jenayah yang tinggi, sebahagian besarnya didorong oleh sindiket terancang dan kegiatan gengsterisma.
Negara itu turut dikejutkan dengan pembunuhan bekas penyampai radio popular, DJ Warras, di tengah bandar Johannesburg minggu lalu.
Mangsa yang berusia 40 tahun itu ditembak mati pada 16 Disember ketika menjalankan tugas bersama sebuah syarikat keselamatan swasta.
Dalam satu lagi kes berprofil tinggi, seorang saksi dalam siasatan rasuah ditembak mati di hadapan keluarganya pada 5 Disember, beberapa minggu selepas memberi keterangan terhadap seorang ketua polis perbandaran.
Afrika Selatan mencatatkan antara kadar pembunuhan tertinggi di dunia, dengan purata 63 orang terbunuh setiap hari antara April hingga September tahun ini, menurut data polis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








