BERITA SEMASA

Lelaki ditemukan maut dalam Proton Wira di Baling miliki 20 rekod jenayah

BALING – Polis mengesahkan lelaki yang ditemukan meninggal dunia dalam sebuah Proton Wira berkunci di tepi Jalan Simpang 3 Tawar berhampiran kawasan Jerat Cina di sini semalam mempunyai 20 rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan narkotik.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, hasil semakan mendapati mangsa yang merupakan warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu pernah terlibat dalam pelbagai kesalahan sebelum ini.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan mengenai seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di dalam kenderaan berkenaan pada pukul 11.35 pagi sebelum sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, polis mendapati mangsa telah meninggal dunia di dalam kereta yang berada dalam keadaan berkunci.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling kemudian membantu membuka pintu kenderaan dan mengeluarkan mayat mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut oleh Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah turut mendapati Proton Wira berkenaan mempunyai rekod dilaporkan hilang di Pendang.

“Kes kehilangan kenderaan itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan kenderaan terbabit telah dirampas bagi membantu siasatan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat dan tindakan lanjut.

Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan sensitiviti keluarga si mati.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Polis Balai Tawar, Sarjan Mejar Hafeedz Amil di talian 017-5588637 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini, media melaporkan pasukan bomba dipanggil ke lokasi untuk membuka pintu Proton Wira tersebut selepas seorang lelaki ditemui tidak sedarkan diri di tempat duduk hadapan penumpang sebelum disahkan meninggal dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button