Rotan pelajar tahfiz, lelaki dipercayai warden akan didakwa
ALOR SETAR – Lelaki dipercayai warden sebuah maahad Tahfiz di Sungai Kob, Kulim yang merotan seorang pelajar tahfiz berusia 11 tahun, baru-baru ini akan didakwa.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, kertas siasatan kes berkenaan sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam dan tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak.
Tambahnya, oleh kerana mangsa di bawah umur, pihaknya terpaksa merujuk kepada Child Interview Centre (CIC) bagi memastikan mangsa dapat memberi keterangan secara konsisten ketika di mahkamah nanti.
“Kita lengkapkan dengan laporan perubatan, laporan CIC dan salinan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang dihantar sekali dengan kertas siasatan walaupun pada awalnya diklasifikasikan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Kita sudah mengambil keterangan daripada warden (ustaz) yang disyaki terbabit dalam kes itu dan menghantar laporan itu kepada AGC semalam dengan cadangan kes mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak (pengabaian kanak-kanak) yang boleh menyebabkan kecederaan, ” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Laporan media sebelum ini menyebut, polis mengesahkan kejadian memaparkan seorang pelajar tahfiz dirotan seorang lelaki yang tular di media sosial baru-baru ini berlaku di sebuah maahad tahfiz di Sungai Kob, Kulim pada September lalu.
Kejadian yang berlaku pada 29 September itu membabitkan seorang murid lelaki berusia 11 tahun dan warden maahad tahfiz itu dipercayai merotan murid terbabit kerana mengganggu murid lain yang sedang belajar.
Ibu bapa kanak-kanak itu yang menyedari kejadian berkenaan melihat kesan lebam pada anggota badannya ketika mengambil anak mereka kemudian membuat laporan polis pada 3 Oktober lalu.
Adzli berkata, polis juga sudah mengambil keterangan daripada beberapa murid di maahad itu untuk membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





