LUAR NEGARA

Lebih 1,000 maut akibat gelombang haba di Perancis, kerajaan berdepan tekanan politik

PARIS – Perancis merekodkan lebih 1,000 kematian dalam tempoh lima hari susulan gelombang haba melampau yang berlarutan selama 11 hari, sekali gus mencetuskan kebimbangan serius serta meningkatkan tekanan politik terhadap kerajaan negara itu.

Susulan situasi yang disifatkan luar biasa itu, kerajaan Perancis dijadual mengadakan satu lagi mesyuarat krisis bagi menilai keberkesanan langkah yang telah diambil serta merangka persediaan menghadapi kemungkinan gelombang haba baharu pada masa hadapan.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Sebastien Lecornu kini berdepan kritikan hebat daripada pihak pembangkang yang mendakwa pentadbiran gagal membuat persediaan secukupnya dan bertindak terlalu lambat dalam menangani krisis cuaca ekstrem tersebut.

Ketua Parti Ecologist, Marine Tondelier menuntut siasatan menyeluruh dijalankan terhadap angka kematian yang disifatkan amat membimbangkan bagi mengenal pasti sebarang kelemahan dalam pengurusan krisis.

Sementara itu, Ahli Parlimen pembangkang daripada France Insoumise, Clemence Guette pula menyifatkan pengendalian kerajaan sebagai satu ‘bencana’ dan mendakwa pihak berkuasa tidak bersedia menghadapi fenomena gelombang haba yang semakin kerap berlaku.

Menurut laporan media tempatan yang memetik Sante Publique France, kira-kira 1,000 kematian tambahan direkodkan sejak Rabu lalu berbanding kadar kematian biasa.

Pihak berkuasa menjangkakan jumlah korban itu akan terus meningkat selepas data lengkap diperoleh.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez menolak dakwaan berlaku kegagalan dalam pengurusan krisis dan menegaskan kerajaan telah membuat persiapan awal bagi menghadapi cuaca panas melampau.

Beliau turut menyifatkan kritikan pembangkang sebagai tidak berasas.

Perdana Menteri pula mempertahankan langkah kerajaan yang mengaktifkan beberapa sel krisis antara kementerian serta mengisytiharkan tahap amaran kesihatan tertinggi bagi mengelakkan tragedi gelombang haba 2003 berulang yang meragut kira-kira 15,000 nyawa.

Selain itu, kerajaan turut menggesa orang ramai dan pihak berkuasa tempatan memainkan peranan masing-masing dalam melindungi golongan berisiko sepanjang tempoh cuaca panas melampau.

Namun, pembangkang yang mula menyusun strategi menjelang pilihan raya presiden 2027 berpendapat tindakan kerajaan setakat ini masih jauh daripada mencukupi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button