BERITA SEMASA

Lapan khemah Bazar Ramadan Rembau rosak akibat ribut

REMBAU – Lapan khemah peniaga di Bazar Ramadan Pekan Rembau, di sini rosak selepas dilanda ribut dan angin kencang dalam kejadian awal pagi semalam.

Insiden itu mengakibatkan kerugian kepada peniaga yang sedang membuat persiapan menjelang hari pertama Ramadan.

Seorang peniaga, Nik Nur Azuddin Nik Suhaimi, 36, berkata, kejadian berlaku secara tiba-tiba ketika dia berada di bawah khemah selepas selesai menyusun peralatan perniagaan termasuk meja, kerusi dan bunting.

Menurutnya yang sudah empat tahun berniaga di bazar berkenaan, ini adalah kali pertama kejadian seumpama itu menimpanya.

“Tiada sebarang tanda awal. Tiba-tiba sahaja angin kuat datang dan mengangkat khemah sebelum menghempap khemah di lorong lain. Lapan khemah terjejas dalam sekelip mata.

“Khemah yang saya sewa patah dan kanvasnya koyak, namun syukur peralatan lain tidak rosak,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Tambahnya, dia dan peniaga lain sepakat untuk membaiki khemah yang rosak supaya operasi perniagaan dapat diteruskan seperti biasa, terutama pada hari pertama puasa yang lazimnya menerima kunjungan ramai pelanggan.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Moktazar Abas, 70, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anak perempuannya kira-kira pukul 1.30 pagi.

Menurutnya yang sudah lebih 20 tahun berniaga di bazar Ramadan berkenaan, ini merupakan pengalaman pertama berdepan situasi sedemikian.

“Baru dua bulan saya beli khemah bersaiz 10×20 kaki dengan harga RM300, tetapi kini sudah patah dan tidak boleh digunakan lagi.

“Saya dan peniaga sebelah berpakat menyewa khemah lebih besar dengan kos RM600. Walau apa pun, jualan tetap perlu diteruskan kerana bahan mentah sudah disediakan,” katanya.

Moktazar yang terkenal dengan jualan daging salai dan rendang ayam berkata, kejadian itu dianggap sebagai dugaan dan berharap perniagaan tetap berjalan lancar sepanjang Ramadan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button