BERITA SEMASA

Lagi kes pegawai perubatan tertinggal bayi dalam kereta

Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu dipercayai ditinggalkan secara tidak sengaja selama 4 jam

SHAH ALAM – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan maut dipercayai selepas empat jam ditinggalkan oleh ibunya di dalam kereta di tempat parkir Hospital Shah Alam, di sini, kemarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang pegawai perubatan hospital pada pukul 8 malam.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa didipercayai ditinggal oleh ibunya secara tidak sengaja selepas mangsa diambil dari pusat asuhan Taska pada pukul 2 petang.

“Ketika ditinggalkan, mangsa dikatakan berada dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan. Ibu mangsa berusia 34 tahun yang juga kakitangan hospital itu dipercayai hanya menyedari insiden terbabit selepas dihubungi suaminya pada jam 6 petang.

“Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan, Hospital Shah Alam, dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan mangsa dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas mangsa mendapati tidak ada sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman pada kanak-kanak itu.

Mohd Iqbal berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

“Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati ketika mengambil anak-anak mereka pulang dari sekolah atau TASKA, terutama yang masih kecil supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi.

“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini, boleh menghubungi Inspektor Syer Aidid melalui talian 013-6544996,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, seorang bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas ibu mangsa terlupa membawa keluar anaknya dari kenderaan. Mangsa maut selepas 10 jam berada di dalam kenderaan di tempat letak kenderaan Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Cheras, dekat sini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button