BERITA SEMASADALAM NEGERI

KPT sokong agenda digital negara, tingkat kualiti Internet IPTA

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited memperkukuh ekosistem digital sektor pendidikan tinggi selaras aspirasi negara menuju Hab Kreatif Digital Global 2030, kata Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil. 6/2025 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyelaras agenda pendigitalan sektor awam serta meningkatkan kesiapsiagaan negara menghadapi era digital.

Menurut Dr Zambry, mesyuarat itu memberi penekanan khusus kepada keperluan meningkatkan liputan dan kualiti internet di universiti awam (IPTA) serta premis latihan kerajaan, satu langkah penting bagi memastikan proses pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan digital dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan inklusif.

“Peningkatan capaian internet merupakan keperluan mendesak. Ia memastikan IPTA kekal kompetitif dalam ekosistem pendidikan tinggi digital yang semakin pesat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr. Zambry pada Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil. 6/2025 yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Beliau turut menegaskan komitmen KPT menyokong usaha Kerajaan MADANI melalui pelaksanaan Unit Transformasi Digital (DTU) di peringkat kementerian, pemerkasaan MyDigital ID, serta pembangunan MyGov Malaysia sebagai gerbang digital tunggal berteraskan kecerdasan buatan.

Katanya, pendidikan tinggi akan terus memainkan peranan strategik dalam melahirkan bakat, memacu inovasi teknologi dan mencipta harta intelek bernilai tinggi demi memastikan Malaysia bersedia menghadapi masa depan digital yang lebih pantas dan berdaya saing.

“Insya-Allah, kita akan terus memperkukuh ekosistem digital pendidikan tinggi agar pelajar, penyelidik dan institusi berada pada landasan yang tepat menuju masa depan yang lebih cekap dan kompetitif,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button