POLITIK

Konvensyen AMANAH kecoh, perwakilan desak usul pemilihan parti dibahas

SHAH ALAM – Suasana hari kedua Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) bertukar tegang apabila beberapa perwakilan mendesak supaya usul berkaitan pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung tahun hadapan dibahaskan segera.

Ketegangan tercetus kurang sejam selepas sesi persidangan bermula apabila tiga perwakilan tampil ke mikrofon bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pimpinan yang tidak membenarkan usul tersebut dibincangkan.

“Duduk, duduk!” arah Pengerusi Persidangan, Azhar Abdul Shukur, berulang kali dalam usaha menenangkan keadaan.

Namun, desakan berterusan daripada perwakilan menyebabkan Azhar akhirnya membenarkan dua wakil membentangkan cadangan masing-masing mengenai pemilihan parti.

Keadaan bagaimanapun kembali tegang apabila sesi itu bertukar menjadi pertengkaran terbuka.

“Kami mahu ia dibahaskan, bukan sekadar dicadangkan!” jerit salah seorang perwakilan memetik laporan Sinar harian online.

Pertikaian itu memperlihatkan dua pendirian berbeza seorang mencadangkan agar pemilihan parti ditangguhkan selepas 2026, manakala seorang lagi menegaskan ia perlu diteruskan mengikut jadual asal.

Dalam kekecohan tersebut, seorang perwakilan dilihat dibawa keluar oleh Skuad Arif, pasukan sukarelawan AMANAH, selepas berlaku insiden tolak-menolak antara beberapa individu sebelum keadaan berjaya dikawal semula.

Bagi mengelakkan suasana terus tidak terkawal, Azhar mengarahkan agar persidangan diteruskan dengan usul lain yang telah diterima.

Usul pertama selepas itu ialah cadangan menaikkan had umur bagi sayap Wanita Muda AMANAH daripada 35 kepada 40 tahun.

Semalam, Naib Presiden AMANAH, Datuk Mohd Hatta Ramli berkata, bahawa usul berhubung pemilihan parti tidak akan dibahaskan pada konvensyen kali ini kerana dianggap terlalu awal dan tidak selaras dengan perlembagaan parti yang melarang sebarang keputusan dibuat sebelum waktunya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button