BERITA SEMASA

KKM pastikan bekalan ubat, peranti perubatan negara kekal stabil

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bahawa keterjaminan bekalan ubat-ubatan serta peranti perubatan di negara ini berada dalam keadaan terkawal meskipun berdepan cabaran rantaian bekalan global susulan konflik Asia Barat dan krisis tenaga dunia.

KKM berkata, pelbagai langkah proaktif telah dilaksanakan termasuk pengukuhan stok penimbal bagi item kritikal serta usaha mempelbagaikan sumber bekalan bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu-satu negara atau pembekal.

Menurut kementerian itu, pemantauan rantaian bekalan turut dilakukan secara berterusan bersama pihak industri bagi memastikan sebarang risiko gangguan dapat dikenal pasti lebih awal sebelum memberi kesan kepada perkhidmatan kesihatan negara.

“Pengurusan bekalan dilaksanakan secara berhemah melalui pengagihan berasaskan keperluan klinikal dan penggunaan secara rasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, KKM turut menyediakan pelan rawatan klinikal alternatif serta mempercepatkan proses kawal selia bagi memastikan pesakit terus mendapat akses kepada ubat-ubatan yang diperlukan.

Antara langkah lain yang turut diambil termasuk pelaksanaan Laluan Akses Khas (Special Access Pathway), pengaktifan pelan gerak balas kecemasan, penetapan item kawalan serta peluasan penggunaan e-labelling bagi peranti perubatan.

KKM turut berkata, konflik Asia Barat ketika ini memberi kesan kepada rantaian bekalan global, khususnya membabitkan produk import berisiko tinggi, selain menjejaskan kelancaran penghantaran serta kestabilan bekalan peranti perubatan kritikal.

Bagi jangka sederhana dan panjang, kementerian itu sedang memperkukuh strategi daya tahan bekalan termasuk pembangunan dasar keterjaminan ubat melalui inisiatif MyMedSecure, pengukuhan pengeluaran tempatan, pendigitalan rantaian bekalan serta pewujudan stok penimbal strategik nasional.

“KKM kekal komited memastikan perkhidmatan kesihatan negara tidak terjejas walaupun berdepan cabaran global yang semakin kompleks,” katanya lagi.

Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha memperkukuh sistem kesihatan negara agar lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang ketidaktentuan rantaian bekalan pada masa hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button