Ketua AMK selar sikap angkuh pemimpin dalam kerajaan
KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menyelar sikap segelintir pemimpin yang didakwa masih lagi bersikap angkuh dan sombong selain mengakui diri sebagai pihak yang paling ‘berjasa’ di dalam Kerajaan Perpaduan.
Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, beliau sebaliknya menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak boleh mendakwa diri mereka sebagai penyelamat tunggal atau tonggak utama kepada kestabilan kerajaan yang ada ketika ini kerana Kerajaan Perpaduan dibentuk hasil kerjasama pelbagai parti politik.
Menurutnya, Kerajaan Perpaduan tidak terbentuk hasil usaha satu kumpulan semata-mata, sebaliknya lahir daripada persefahaman dan kerjasama antara pelbagai parti demi kepentingan rakyat dan negara.
“Tak perlu ‘overclaim’ begini. Kita semua tahu Kerajaan Perpaduan ini terbentuk hasil kerjasama banyak pihak, bukan sebab satu kumpulan sahaja.
“Tak usah berlagak macam kita lah yang terpenting. Tabiat lama ini nampaknya susah nak hilang,” katanya.
Beliau dipercayai mengulas laporan sebuah portal yang memetik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata Kerajaan Perpaduan tidak akan dapat dibentuk tanpa sokongan 30 kerusi Barisan Nasional (BN).
Bahkan tegas Kamil, parti yang memiliki jumlah kerusi terbesar dalam kerajaan tidak pernah mendakwa diri mereka sebagai penyelamat negara atau faktor tunggal kepada kestabilan politik semasa.
Sebaliknya, beliau berkata kestabilan yang dinikmati negara hari ini terhasil daripada sikap saling menghormati antara parti-parti yang membentuk kerajaan serta kesediaan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik.
“Kestabilan ini lahir daripada sikap saling menghormati dan persefahaman yang jitu dengan meletakkan keutamaan rakyat dan negara di hadapan, bukan dengan nada dan sikap yang angkuh dan sombong,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa landskap politik negara telah banyak berubah dan menuntut semua pihak menyesuaikan diri dengan realiti baharu politik kerjasama.
“Politik zaman ini dah berubah. Tapi nampaknya ada orang yang masih tak nak berubah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








