Ketibaan kapal induk USS Gerald R. Ford tingkat ketegangan ketenteraan antara AS dan Venezuela
WASHINGTON – Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) mengumumkan kapal pengangkut pesawat terbesar dan termoden miliknya, USS Gerald R. Ford telah memasuki kawasan tanggungjawab Pemerintahan Selatan, yang merangkumi Amerika Latin dan Caribbean.
Penempatan kapal itu bersama kumpulan kapal pemusnah dan pesawat penyerang telah diumumkan hampir tiga minggu lalu, dan ketibaannya menandakan peningkatan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Venezuela, lapor The Guardian.
Sebagai tindak balas, Presiden Venezuela, Nicolás Maduro, mengumumkan apa yang disebut sebagai “penempatan besar-besaran” pasukan darat, laut, udara, sungai dan peluru berpandu, termasuk pasukan pertahanan awam, bagi mengimbangi kehadiran tentera laut AS di perairan berhampiran pantainya.
Penempatan itu juga menandakan kehadiran tentera AS terbesar di rantau itu dalam tempoh beberapa dekad dan dilihat sebagai yang terbesar sejak pencerobohan Panama pada tahun 1989.
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump berusaha mempertahankan kehadiran besar-besaran itu sebagai sebahagian daripada “perang menentang dadah” yang tertumpu kepada penyeludup yang didakwa membawa narkotik melalui perairan Caribbean dan Pasifik.
Kempen itu turut merangkumi serangan udara terhadap bot, yang setakat ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 76 orang di perairan Amerika Selatan sejak September.
Jurucakap utama Pentagon, Sean Parnell, dalam satu kenyataan berkata, ketibaan USS Gerald R Ford, yang membawa “lebih 4,000 kelasi dan puluhan pesawat taktikal” itu akan “meningkatkan keupayaan AS untuk mengesan, memantau dan menggagalkan kegiatan serta pelaku haram” di rantau itu.
“Pasukan ini akan memperkukuh dan menambah baik keupayaan sedia ada bagi memerangi penyeludupan narkotik serta melemahkan dan membubarkan organisasi jenayah rentas sempadan,” tambahnya.
Ramai penganalisis melihat serangan terhadap bot serta peningkatan ketenteraan itu sebagai usaha untuk memberi tekanan kepada Maduro supaya berundur selepas didakwa menipu dalam pilihan raya tahun lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








