JENAYAH & MAHKAMAH

Kes saman fitnah KJ selesai, Jamal Yunos buat permohonan maaf terbuka

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah difailkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos selesai selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Penyelesaian itu direkodkan selepas Jamal membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadap Khairy.

Dalam penghakiman persetujuan dibacakan di mahkamah, Jamal mengakui dakwaan yang dibuatnya terhadap bekas Ahli Parlimen Rembau itu adalah tidak benar, tidak berasas dan tidak disokong bukti mencukupi.

“Saya sesungguhnya kesal atas penerbitan dan penyebaran kenyataan tersebut yang telah menyebabkan gangguan, penghinaan awam serta kerosakan kepada reputasi dan kredibiliti Khairy.

“Oleh itu, saya menarik balik sepenuhnya segala kenyataan fitnah yang telah saya keluarkan terhadap beliau,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau turut memohon maaf atas kesulitan, tekanan dan kerosakan reputasi yang timbul susulan kenyataan tersebut.

Menurut Jamal, beliau sebelum ini mendakwa Khairy mengupah perwakilan untuk melakukan perbuatan ‘boo’ selain mengaitkan bekas menteri itu dengan rasuah serta tindakan tidak berintegriti.

Katanya, beliau mengakui kenyataan tersebut memberi gambaran bahawa Khairy seorang pemimpin tidak berintegriti dan terlibat dalam amalan rasuah, sedangkan perkara itu tidak benar.

Susulan penyelesaian itu, Jamal bersetuju memadam semua rakaman video dan penerbitan berkaitan daripada akaun Facebook serta TikTok miliknya selain memberi jaminan tidak akan mengulangi kenyataan sama pada masa hadapan.

Hakim Anand Ponnudurai kemudian merekodkan penghakiman persetujuan berdasarkan terma yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Terdahulu, peguam Harshaan Muhammad Zamani yang mewakili Khairy memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes berkenaan secara baik.

Khairy memfailkan saman itu pada 24 Mei 2023 berhubung kenyataan media dibuat Jamal ketika Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada 14 Januari 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Khairy mendakwa Jamal turut memuat naik video mengandungi kenyataan fitnah menerusi Facebook dan TikTok miliknya yang memberi gambaran beliau tidak layak menjadi pemimpin serta tidak setia kepada UMNO.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button