AGAMABERITA SEMASA

Menteri Agama ambil tindakan undang-undang susulan dakwaan fitnah di Facebook

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu susulan penerbitan kandungan di Facebook yang didakwa memfitnah dan menjejaskan reputasinya.

Menurut beliau, firma guaman Akberdin and Co sudah mengeluarkan Notice of Demand terhadap individu bernama Azuan Mazalan berhubung kandungan yang mengaitkan dirinya dengan tuduhan tidak benar serta berniat jahat.

“Kandungan tersebut bukan sahaja mengandungi dakwaan tidak berasas, bahkan membawa maksud yang boleh merosakkan reputasi, maruah serta kedudukan saya sebagai anggota pentadbiran Kerajaan Malaysia.

“Tuduhan sedemikian juga mencemarkan integriti institusi Hal Ehwal Agama yang saya pimpin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohd Na’im, tindakan undang-undang itu diambil bagi mempertahan kebenaran, melindungi reputasi serta menghentikan penyebaran fitnah yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan keyakinan terhadap institusi agama.

“Saya ingin menegaskan bahawa semua dakwaan yang ditularkan adalah palsu dan tidak berlandaskan sebarang fakta.

“Penyebaran fitnah adalah satu kesalahan dari sudut undang-undang dan bertentangan dengan nilai Islam yang menuntut keadilan serta larangan keras terhadap tohmahan,” katanya.

Mohd Naim fitnah
Gambar yang dimuat naik Mohd Na’im berhubung dakwaan fitnah terhadap beliau.

Tambah beliau, tindakan itu juga dibuat menurut haknya sebagai warganegara dan bukan bertujuan menghukum sesiapa secara peribadi.

“Sebaliknya ia untuk memastikan ruang digital tidak disalahgunakan untuk menyebarkan kebencian, manipulasi persepsi dan meruntuhkan kepercayaan masyarakat melalui maklumat palsu.

“Saya menghormati proses undang-undang. Tindakan seterusnya akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak guaman mengikut lunas peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan fokusnya kekal pada tanggungjawab sebagai anggota pentadbiran kerajaan.

“Fokus utama saya kekal kepada tugas amanah sebagai seorang Menteri. Saya akan terus memberikan tumpuan kepada agenda Malaysia MADANI, pengukuhan syiar Islam, pemerkasaan institusi agama serta kebajikan ummah di seluruh negara.

“Saya menyeru seluruh masyarakat agar sentiasa berwaspada dalam menerima dan menyebarkan maklumat. Semak sebelum kongsi dan utamakan adab serta akhlak dalam berinteraksi di media sosial,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button