AGAMABERITA SEMASA

Masjid, surau di bawah JAKIM, JAWI diarah anjur solat hajat untuk Sabah

KUALA LUMPUR – Seluruh masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diminta mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Sabah yang terjejas akibat banjir dan insiden tanah runtuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada mangsa terlibat serta keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam musibah berkenaan.

Naim Mokthar
Dr Mohd Na’im menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada mangsa terlibat dalam musibah berkenaan.

“Semoga seluruh negeri Sabah segera pulih daripada ujian besar yang sedang melanda.

“Seluruh agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga akan turun ke lapangan membantu agensi pusat dan negeri bagi menyantuni mangsa yang terkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Setakat pukul 8 pagi tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memberitahu, seramai 2,897 mangsa banjir daripada 813 keluarga masih ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara dan sebuah Pusat Pemindahan Kekal.

Sementara itu, tragedi tanah runtuh sejak Jumaat lalu telah meragut 13 nyawa.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, solat hajat akan dilaksanakan di tiga masjid utama hari ini selepas solat Maghrib iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.

“JAKIM menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama memanjatkan doa dengan penuh pengharapan semoga keadaan di Sabah segera pulih seperti sediakala, segala urusan mangsa dipermudahkan, dan seluruh rakyat sentiasa dalam rahmat serta perlindungan Allah SWT,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button