Awesome TV saman tiga selebriti tempatan atas dakwaan fitnah
KUALA LUMPUR – Stesen penyiaran swasta, Awesome TV mengesahkan telah memfailkan saman fitnah terhadap tiga selebriti tempatan berikutan kenyataan berunsur fitnah yang disebarkan menerusi media sosial masing-masing.
Tiga individu terbabit ialah pelawak dan pelakon, Mohamad Amirullah Azmi atau lebih dikenali sebagai Amir Raja Lawak; Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad (Mamak Puteh) serta Abu Musarrif Abu Bakar (Abu Mamu).

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, tindakan undang-undang itu diambil selepas mereka didakwa menyebarkan tuduhan tidak berasas bahawa Awesome TV gagal membuat bayaran atas penglibatan mereka dalam program-program terbitan stesen tersebut.
Bagaimanapun, pihak Awesome TV menjelaskan bahawa semua program yang disiarkan di salurannya diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat produksi luar (production house) dan segala urusan kontrak serta pembayaran artis adalah di bawah tanggungjawab syarikat produksi berkenaan.
“Dakwaan tersebut telah mencemarkan imej serta reputasi Awesome TV,” jelas kenyataan itu.
Isu berkenaan turut mencuri perhatian apabila dibangkitkan dalam Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syed Syereena Abdul Rashid tanpa sebarang semakan terhadap fakta sebenar.
Awesome TV menyifatkan tindakan itu boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat dan memberi gambaran tidak tepat terhadap operasi stesen berkenaan.
Sehubungan itu, firma guaman Shafie & Co telah diarahkan untuk memfailkan saman terhadap ketiga-tiga individu terbabit sebagai langkah melindungi integriti dan nama baik Awesome TV.
“Awesome TV memandang serius sebarang tuduhan tidak berasas dan tidak akan berdiam diri terhadap usaha mencemarkan nama kami,” tambah kenyataan itu.
Stesen televisyen itu turut menegaskan komitmen mereka untuk terus menyediakan kandungan berkualiti kepada rakyat Malaysia dan mempertahankan reputasinya melalui saluran undang-undang yang sewajarnya.
“Kerana rakyat keutamaan kami,” tegas kenyataan itu mengakhiri siaran media berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan dakwaan Amir Raja Lawak bahawa Awesome TV tidak menjelaskan bayaran sebanyak RM18,000 atas khidmat beliau dalam program stesen penyiaran tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








