Aliff Syukri diperintah bayar RM250,000 kepada Abdul Kadir dalam kes fitnah
KUALA LUMPUR – Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman diperintahkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 kepada bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berhubung kes fitnah melibatkan dakwaan hutang pelaburan bernilai puluhan juta ringgit.
Hakim Roslan Mat Nor membuat keputusan itu selepas membenarkan saman yang difailkan Abdul Kadir selaku plaintif terhadap Aliff Syukri sebagai defendan.
Mahkamah turut memerintahkan Aliff Syukri membayar kos sebanyak RM50,000 kepada plaintif.
Dalam penghakimannya, mahkamah turut mengarahkan defendan atau mana-mana pegawai serta ejennya supaya tidak lagi menerbitkan kenyataan yang menjadi pertikaian atau apa-apa penerbitan lain yang membawa maksud sama.
Selain itu, Aliff Syukri juga diarahkan memadamkan kenyataan berunsur libel daripada semua akaun media sosial miliknya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah.
Defendan juga perlu memberikan akujanji bertulis bahawa beliau tidak akan menyebabkan atau menyiarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadap plaintif pada masa hadapan.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak iaitu Abdul Kadir dan Aliff Syukri tidak hadir pada prosiding tersebut, memetik laporan Buletin TV3.
Pada 16 April 2024, Mahkamah Tinggi memerintahkan kes saman itu diteruskan ke perbicaraan selepas Abdul Kadir memfailkan tindakan undang-undang pada 6 September 2023.
Dalam samannya, Abdul Kadir mendakwa Aliff Syukri yang mempunyai pengaruh besar dalam industri hiburan dan media sosial telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya menerusi Instagram dan Facebook pada 2 Julai 2023.
Beliau mendakwa kenyataan itu memberi gambaran bahawa dirinya berhutang berjuta-juta ringgit kepada defendan, selain gambar yang dimuat naik bersama kenyataan tersebut mengundang pelbagai komen negatif daripada orang ramai.
Antara tuntutan asal Abdul Kadir termasuk ganti rugi sebanyak RM70 juta bagi libel, selain permohonan maaf tanpa syarat serta akujanji bertulis supaya defendan tidak lagi menyiarkan sebarang fitnah terhadapnya.
Sementara itu, dalam pernyataan pembelaannya, Aliff Syukri mendakwa beliau telah membuat bayaran pelaburan sebanyak RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usaha sama bertarikh 26 November 2018 yang membabitkan plaintif, defendan serta dua syarikat lain.
Beliau turut mendakwa kegagalan pembayaran semula wang pelaburan serta pelanggaran akujanji dalam perjanjian tersebut adalah dalam pengetahuan plaintif sendiri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








