Cikgu Fadli menang kes saman fitnah, mahkamah arah Atomy Malaysia bayar kos RM25,000
KUALA LUMPUR – Aktivis pendidikan, Cikgu Mohd Fadli Salleh berjaya mempertahankan diri dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh Atomy Malaysia terhadapnya sejak 2021, selepas mahkamah memutuskan pihak pendakwa gagal membuktikan dakwaan berkenaan.
Menurut Mohd Fadli, mahkamah mendapati lima hantaran yang ditulisnya sebelum ini tidak memenuhi unsur fitnah seperti yang didakwa sekali gus membuktikan bahawa perkongsian tersebut adalah berasaskan fakta yang sahih dan benar.
“Alhamdulillah. Saya menang melawan Atomy Malaysia yang saman saya pada 2021.
“Pihak pendakwa gagal membuktikan lima post yang saya tulis adalah fitnah,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial hari ini.
Berikutan keputusan itu, mahkamah turut mengarahkan Atomy Malaysia membayar kos sebanyak RM25,000 kepada beliau.
Mohd Fadli meluahkan rasa syukur atas keputusan berkenaan dan menyifatkannya sebagai berita paling menggembirakan buat dirinya, apatah lagi ia diumumkan pada hari Jumaat.
“Syukur kepada Allah. Terbukti perkongsian saya sebelum ini adalah fakta sahih lagi benar,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada peguam yang mewakilinya, Nor Zabetha Muhamad Nor serta pasukan guaman yang disifatkan sebagai cekal dan berpengalaman sepanjang tempoh perbicaraan kes berkenaan.
Mohd Fadli berkata, sepanjang hampir lima tahun turun naik mahkamah, beliau memperoleh banyak pengalaman berharga berkaitan proses perundangan, khususnya apabila berdepan saman di mahkamah.
“Nanti ada masa, saya akan kongsikan pengalaman bagaimana proses mahkamah apabila disaman,” katanya.
Kes saman itu difailkan pada 2021 dan melalui beberapa peringkat perbicaraan sebelum keputusan memihak kepada Mohd Fadli diumumkan.
Beliau turut memuat naik gambar semasa salah satu sesi perbicaraan awal tahun ini sebagai dokumentasi perjalanan kes berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








