BERITA SEMASA

Kisah ‘Ustaz Yusuf’ meninggal ketika khutbah Jumaat hanya rekaan demi klik

KUALA LUMPUR – Dakwaan tular mengenai seorang khatib dikenali sebagai ‘Ustaz Yusuf’ yang kononnya meninggal dunia ketika menyampaikan khutbah Jumaat pada 13 Mac lalu adalah cerita palsu yang direka bagi meraih klik dan menjana pendapatan melalui pautan jualan dalam talian.

Aktivis pendidikan, Cikgu Mohd Fadli Salleh berkata, kisah yang disebarkan secara meluas di media sosial itu sengaja ditulis dengan gaya emosional sehingga menimbulkan rasa kagum dan cemburu terhadap kematian yang digambarkan sebagai husnul khatimah.

Menurutnya, beliau pada awalnya turut terkesan dengan cerita berkenaan sebelum mengambil inisiatif mencari maklumat lanjut mengenai individu yang didakwa sebagai ‘Ustaz Yusuf’.

“Saya cuba cari siapa Ustaz Yusuf, di mana kejadian berlaku dan butiran lain, tetapi langsung tiada maklumat sahih mengenainya.

“Kebanyakan hantaran hanya memaparkan poster dan pautan video yang sebenarnya membawa pengguna terus ke platform beli-belah dalam talian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mendakwa, taktik itu digunakan oleh segelintir individu yang terlibat dalam program pemasaran gabungan (affiliate) bagi memancing orang ramai menekan pautan yang disediakan.

Menurutnya, sistem tersebut membolehkan pihak yang berkongsi pautan menerima komisen sekiranya pengguna yang pernah menekan pautan berkenaan membuat sebarang pembelian dalam tempoh beberapa hari selepas itu.

“Walaupun pengguna tidak membeli apa-apa ketika klik pautan itu, jika dalam tempoh tujuh hari mereka membuat pembelian di platform tersebut, komisen tetap akan diberikan kepada pemilik pautan,” jelasnya.

Mohd Fadli berkata, hasil semakan mendapati insiden sebenar khatib meninggal dunia ketika khutbah pernah dilaporkan berlaku pada 7 Jun 2019 di Alor Setar, Kedah.

Menurutnya, khatib tersebut ialah Ku Yaacob, 68, seorang bekas guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai atau menyebarkan kisah yang tidak dipastikan kesahihannya, khususnya jika ia digunakan bagi tujuan meraih keuntungan.

“Janganlah mereka cerita palsu semata-mata untuk mengejar pendapatan daripada monetisasi media sosial atau pautan jualan. Fikirkan soal halal dan haram sumber rezeki,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button