Kerajaan timbang had subsidi RON95 dikurangkan kepada 150 liter sebulan
KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk mengurangkan lagi had subsidi petrol RON95 di bawah program BUDI95 kepada 150 liter sebulan sebagai langkah memperkemas pengurusan subsidi bahan api negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, cadangan itu dibuat berdasarkan data penggunaan rakyat yang menunjukkan majoriti pengguna menggunakan petrol pada kadar lebih rendah daripada had semasa.
Menurut beliau, had subsidi sebelum ini telah dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter pada Mac lalu sebagai fasa awal pelaksanaan rasionalisasi subsidi.
“Data menunjukkan 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan. Langkah seterusnya ialah 150 liter kerana 60 peratus penduduk menggunakan kurang daripada jumlah itu,” memetik NST online.
Chin Tong berkata, pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar itu bukan sekadar bertujuan mengurangkan beban fiskal kerajaan, sebaliknya bagi memastikan bekalan bahan api negara kekal stabil dalam jangka panjang terutama ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan krisis tenaga global.
“Kerajaan sebelum ini membelanjakan kira-kira RM700 juta sebulan untuk subsidi bahan api, namun jumlah itu meningkat kepada RM7 bilion sebulan susulan ketegangan global semasa,” katanya lagi.
Chin Tong berkata, golongan berpendapatan rendah terutama penunggang motosikal dan pekerja ekonomi gig akan terus diberi perhatian dalam pelaksanaan subsidi bersasar.
“Secara politik dan sosial, kita mahu pengguna motosikal terus menikmati kadar subsidi tinggi kerana kenaikan kos kepada golongan ini boleh memberi kesan besar kepada masyarakat,” katanya lagi.
Beliau turut berpandangan Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian dengan memperkukuh sistem pengangkutan awam serta menggalakkan lebih ramai penduduk tinggal di kawasan bandar.
“Model semasa yang terlalu bergantung kepada lebuh raya dan kesesakan trafik tidak lagi mampan kerana setiap liter minyak yang terbuang dalam kesesakan memberi kesan langsung kepada kewangan negara,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, Malaysia juga perlu membina sistem ekonomi domestik yang lebih kukuh dan berdaya tahan bagi menghadapi sebarang gangguan global termasuk peperangan, pandemik dan krisis rantaian bekalan pada masa depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















