BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kerajaan pertimbang lanjut pendidikan pra-tahfiz ke sekolah rendah

GOMBAK – Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan pendidikan al-Quran dan tahfiz di peringkat sekolah rendah sebagai kesinambungan kepada pembelajaran pra-tahfiz yang dilaksanakan di tadika dan tabika KEMAS.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu susulan sambutan menggalakkan terhadap program pendidikan al-Quran dalam kalangan kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun yang mengikuti pembelajaran di Taman Didikan Kanak-Kanak (tadika) dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (tabika) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Menurut beliau, perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, minggu lalu bagi membolehkan penghafazan al-Quran diteruskan apabila murid melangkah ke alam persekolahan rendah.

“Kita sedang merangka supaya pembelajaran pra-tahfiz yang dilaksanakan di tadika dan tabika KEMAS dapat dilanjutkan dari Tahun Satu hingga Tahun Enam menerusi kurikulum yang akan diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan.

“Ini bermakna tadika dan tabika KEMAS akan berperanan sebagai feeder school kepada Kementerian Pendidikan, iaitu menyediakan asas sebelum murid menyambung pembelajaran di sekolah kebangsaan,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Huffaz Al-Quran Al Karim di Maahad Tahfiz Al Mashrafe, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, selain memberi penekanan terhadap penguasaan asas 3M di sekolah rendah, usaha turut dilakukan bagi meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran termasuk penyediaan peralatan digital seperti televisyen pintar di tadika dan tabika KEMAS.

Beliau turut mencadangkan agar murid beragama Islam diberi peluang mengikuti kelas tambahan penghafazan al-Quran dari Tahun Satu hingga Tahun Enam sebagai kesinambungan kepada pendidikan pra-tahfiz di peringkat prasekolah.

Mengulas keperluan tenaga pengajar, Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan silibus pra-tahfiz di tadika dan tabika KEMAS tidak memerlukan penambahan guru kerana ia sudah dilaksanakan sedia ada, manakala keperluan guru agama di sekolah rendah tertakluk kepada pertimbangan Kementerian Pendidikan.

Beliau menegaskan, usaha memperluas pendidikan tahfiz itu bukan bermotifkan politik, sebaliknya satu tanggungjawab dan ikhtiar untuk memperkukuh pendidikan Islam dalam kalangan generasi muda.

“Diharapkan pembangunan institusi tahfiz ini dapat diperkasakan dengan sokongan semua pihak termasuk ulama dan pendidik bagi melahirkan generasi celik al-Quran pada masa hadapan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button