BERITA SEMASA

Kerajaan komited laksanakan Akta 852 – Dr Dzulkefly

Tidak timbul isu pusingan-U

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited melaksanakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dan tidak akan tunduk dengan tekanan mana-mana pihak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tidak timbul isu pusingan-U kerana hanya mahu memuaskan hati mana-mana pihak.

“Tiada isu ‘berpatah balik’ kerana kerajaan komited melaksanakannya dengan penuh bertanggungjawab.

“Ketetapan ini bukan hanya membabitkan KKM (Kementerian Kesihatan) tetapi komitmen kerajaan,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata demikian dalam sidang akhbar sejurus menyempurnakan Majlis Pelancaran ‘Cik Era Chatbot’ melalui Laman Sesawang Jomquit di Prince Court Medical Centre, di sini hari ini.

Jelas beliau, kerajaan tidak berbelah-bahagi melaksanakan akta yang dikuatkuasakan pada 1 Oktober lalu itu setelah bertungkus-lumus membentangkan Akta 852 ini dan memastikan Dewan Rakyat serta Dewan Negara meluluskannya.

“Kita mahu pemilik dan pemain industri ini bersama kerajaan serta memahami mengapa produk tembakau perlu dikawal selia.

“Ini bertepatan dengan program berhenti merokok, sangat mustahak mereka memahami bukan sahaja dari sudut komersial tetapi mengambil tahu hasrat KKM berkenaan akta itu.

“Kerajaan masih terbuka untuk berunding, melakukan libat urus tetapi bukan untuk membuat keputusan berpatah balik,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button