Kehamilan remaja di Thailand meningkat, usaha pencegahan diperhebat
BANGKOK – Kadar kehamilan dalam kalangan remaja muda Thailand berusia 10 hingga 14 tahun menunjukkan peningkatan apabila mencapai 0.93 orang bagi setiap 1,000 penduduk pada tahun 2024 berbanding purata 0.9 orang sejak lima tahun lalu.
Jawatankuasa Pencegahan Kehamilan Remaja Kerajaan dalam laporan terbaharu pada Rabu memaklumkan usaha untuk mengurangkan kadar tersebut kepada di bawah 0.7 orang bagi setiap 1,000 penduduk sedang dipergiatkan dengan kerjasama pelbagai pihak.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam Thailand, Dech-it Khaothong berkata, kementerian bekerjasama dengan pejabat kesihatan awam di semua wilayah bagi menangani isu itu terutama melibatkan remaja bawah 14 tahun.
“Pelbagai inisiatif diperkenalkan termasuk mempromosikan pendidikan seksual, meningkatkan kemahiran hidup serta menyediakan perkhidmatan kesihatan reproduktif yang mesra remaja.
“Langkah itu bertujuan mencegah kehamilan dan penyakit kelamin dalam kalangan remaja,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut.
Dech-it turut berkata, sistem sokongan dan perlindungan telah diwujudkan untuk memastikan pelajar yang hamil tidak tercicir daripada sistem pendidikan selain mendapat hak kebajikan sosial yang sewajarnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan, Dr Amporn Benjaponpitak, memaklumkan bahawa sebanyak 46,893 individu telah mendapatkan perkhidmatan konsultasi melalui talian hotline 1663 dan laman Facebook jabatan tersebut sepanjang tahun ini.
“Daripada jumlah itu, 96.3% remaja hamil menerima subsidi kerajaan untuk bayi baru lahir, dan 90.4% menyatakan kepuasan terhadap bantuan yang diterima,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan, sebanyak 414 aktiviti berkaitan pendidikan seksual telah dianjurkan bersama Majlis Kanak-kanak dan Remaja Thailand sepanjang tahun lalu sebagai langkah pencegahan kehamilan remaja.
Amporn berkata, peningkatan kes kehamilan remaja berpunca daripada kurangnya pendidikan seksual serta kesedaran, selain peningkatan kes serangan seksual yang dilaporkan setiap tahun.
“Kes serangan seksual itu menyebabkan kos rawatan dan pemulihan melebihi 40 juta baht setiap tahun,” katanya lagi.
Sebagai langkah susulan mesyuarat memutuskan untuk menyediakan laporan terperinci mengenai kelahiran remaja dan meminta Yayasan Promosi Kesihatan Thailand merangka strategi pencegahan melalui pendekatan perkhidmatan sehenti.
Pendekatan tersebut merangkumi pemberian bantuan kebajikan, pendidikan seksual, latihan vokasional dan sokongan lain untuk membantu remaja yang terlibat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








