BERITA SEMASA

Isu Kemboja-Thailand: Malaysia sedia jadi perantara rundingan

SEREMBAN – Malaysia sedia menjadi perantara rundingan antara Thailand dan Kemboja bagi memastikan gencatan senjata yang dimeterai sebelum ini kekal.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rundingan itu dijangka diadakan selepas perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

“Jika boleh diadakan di Malaysia kerana antara kedua-dua negara itu, mereka tidak lagi mempunyai kepercayaan, mereka saling tidak mempercayai.

“Mereka ada menghubungi kita, Kemboja minta dibuat perbincangan itu di Kuala Lumpur begitu juga Thailand minta supaya kita meneruskan usaha mengekalkan gencatan semula. Kita berasa dukacita dan kesal dengan perkara itu.

“Ini kerana selepas perjanjian damai Kuala Lumpur yang ditandatangani kedua-dua pemimpin Kemboja dan Thailand semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 tempoh hari, mereka nampaknya amat gembira, tetapi kini ada sedikit pertelingkahan di peringkat sempadan,” katanyam hari ini.

Thailand menggantung gencatan senjata itu berikutan insiden dua anggota tenteranya yang meronda kawasan sempadan terpijak periuk api yang didakwa ditanam oleh Kemboja.

“Namun pasukan pemantau ASEAN di Thailand dan Kemboja melaporkan ia merupakan periuk api baharu… tadi dalam perbualan telefon antara saya dengan Menteri Luar Thailand, saya berharap kedua-dua pihak bertenang dan berbincang kekalkan keamanan,” katanya.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, pasukan pemantau ASEAN tidak diletakkan di sempadan namun mereka sentiasa memantau dan melaporkan perkembangan di kawasan berkenaan kepada pihak berkaitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button