BERITA SEMASA

KBS, JPM Hal Ehwal Agama perkasa belia menerusi Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi menjayakan program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan sebagai usaha memperkukuh pembangunan belia secara holistik dan berteraskan nilai Malaysia MADANI.

Dr Taufiq Johari
Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan di KBS Putrajaya hari ini.

Menterinya, Dr Taufiq Johari berkata, inisiatif itu mengiktiraf peranan masjid bukan sekadar sebagai rumah ibadat, tetapi sebagai institusi sosial dan pusat pembangunan komuniti yang inklusif.

“Apabila kita bercakap tentang memakmurkan masjid, ia bukan hanya soal ibadah semata-mata, tetapi bagaimana kita melahirkan generasi masa depan yang cemerlang, berdisiplin, berilmu serta mempunyai jati diri yang kukuh,” katanya pada sidang media selepas majlis prapelancaran program tersebut di Menara KBS, hari ini.

Menurut beliau, pendekatan itu juga selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu diwujudkan jawatankuasa belia di peringkat masjid bagi memperkasa penglibatan anak muda dalam aktiviti komuniti dan kepimpinan.

Tambahnya, melalui kerjasama tersebut, kedua-dua kementerian akan menyelaras program sedia ada termasuk pengisian kerohanian dan latihan kepimpinan bagi membentuk pemimpin muda berkualiti.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pelaksanaan program berkenaan akan memberi tumpuan kepada aktiviti Ramadan di lebih 100 daerah seluruh negara dengan kerjasama KBS, Jabatan Agama Islam negeri-negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta agensi agama berkaitan.

pelancaran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan
Pelancaran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan

“Sebenarnya pelancaran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan ini memfokuskan kepada aktiviti Ramadan di seluruh negara. Pelbagai program dilaksanakan untuk anak muda, namun ia bukan hanya berakhir pada bulan Ramadan, sebaliknya akan diteruskan,” katanya lagi.

Beliau berkata, jawatankuasa khas anak muda di peringkat masjid telah mula digerakkan bagi memastikan kesinambungan program dan agenda pembangunan belia.

“Mereka inilah yang akan mengimarahkan masjid dan meneruskan program seterusnya. Dengan sokongan jabatan serta Kementerian Belia dan Sukan, kita dapat meluaskan lagi aktiviti supaya lebih menarik minat anak muda.

“Kita lihat apabila ada program yang luar daripada kebiasaan, anak muda mula mendekati masjid. Itulah matlamat kita – melahirkan pemuda yang hatinya terpaut dengan masjid,” katanya lagi.

Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh peranan institusi agama sebagai pusat pembangunan sahsiah dan kepimpinan belia secara inklusif di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button