BERITA SEMASA

Lebih 10,420 sukarelawan terlibat dalam program KBS sepanjang 2025

PUTRAJAYA – Penglibatan melebihi 10,420 sukarelawan belia dalam pelbagai program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tahun ini menjadi pencapaian utama sempena Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia (HKBM) Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Putrajaya, hari ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli berkata, peningkatan jumlah sukarelawan membuktikan komitmen tinggi golongan belia terhadap usaha pembangunan komuniti dan kemanusiaan.

“Budaya kesukarelawanan dalam kalangan belia semakin kukuh dan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya di sini hari ini.

HKBM 2025 turut diadakan bersempena sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa yang jatuh pada 5 Disember setiap tahun. Seiring dengan tema global “Every Contribution Matters”, membawa tema “Belia ASEAN, Komuniti Berdaya”, sebagai pemacu kerjasama serantau serta agen perubahan masyarakat.

Menurut KBS, sambutan tahun ini menyasarkan penyertaan lebih 5,000 peserta di peringkat kebangsaan dan negeri.

Program-program besar seperti MyCorps Borneo 2025, ASEAN Youth Volunteer (AYV), Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA), Furr Ever Friends dan Projek Dengar Rakan Muda menjadi antara penyumbang utama kepada jumlah keseluruhan sukarelawan yang melepasi angka 10,420 orang.

Program MyCorps Borneo misalnya, memberi manfaat kepada masyarakat di Sabah dan Sarawak melalui pelaksanaan aktiviti komuniti dan pendidikan.

Sementara itu, AYV terus memperkukuh hubungan belia negara-negara ASEAN, manakala Satria melaksanakan lebih 100 projek komuniti di seluruh negara.

Program kebajikan haiwan melalui Furr Ever Friends serta sokongan emosi kepada belia melalui Projek Dengar Rakan Muda turut mencerminkan keluasan skop kesukarelawanan di bawah KBS.

Sambutan HKBM tahun ini juga diserikan dengan pertandingan video pendek, fotografi dan esei yang diumumkan pemenangnya pada majlis penutup.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button