Kastam serbu gudang, rampas enam kontena arak seludup di Sibu
KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas enam kontena minuman keras disyaki diseludup dalam serbuan di sebuah gudang di Lorong Ding Lik Kwong, Sibu, Sarawak kelmarin.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Siti Mang berkata, kontena bersaiz enam meter itu ditemukan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) yang menjalankan pemeriksaan mengejut di premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan terhadap enam kontena itu menemukan minuman keras dipercayai barang larangan dianggarkan sebanyak 104,544 liter.
“Pemeriksaan penuh 100 peratus masih dijalankan bagi mengesahkan kuantiti tepat, nilai rampasan serta cukai terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya percaya gudang tersebut dijadikan lokasi transit sebelum arak seludup itu diedarkan ke pasaran tempatan.
“Operasi ini berjaya susulan kerjasama pegawai dan anggota Bahagian Penguat Kuasa JKDM di ibu pejabat serta JKDM Sarawak.
“Pengimportan minuman keras adalah tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kastam seperti dinyatakan dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Setiap minuman keras yang diimport secara sah juga wajib dilekatkan setem cukai,” katanya lagi.
Menurut Siti Mang, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 bergantung mana lebih tinggi.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penyeludupan atau aktiviti mencurigakan menyalurkan maklumat melalui Talian Bebas Tol 1-800-88-8855 atau di mana-mana pejabat Kastam berhampiran. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








