Kanak-kanak 3 tahun positif dadah, pempengaruh ditahan polis
MELAKA – Polis menahan seorang lelaki yang juga pempengaruh media sosial bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang disahkan positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (ganja).
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.30 malam pada 15 April oleh sepasukan anggota dari Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.
Menurutnya, lelaki berkenaan yang juga anak kepada pengasuh kanak-kanak itu direman selama tujuh hari bermula 16 April sebelum disambung lima hari lagi sehingga 27 April bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kejadian terbongkar apabila seorang pegawai perubatan di Hospital Melaka menerima mangsa dalam keadaan separuh sedar pada 14 April kira-kira pukul 5 petang.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati mangsa positif tetrahydrocannabinol. Ibu mangsa memaklumkan anaknya diambil dari rumah pengasuh di Sungai Putat pada 11 April,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, mangsa telah diberikan bantuan pernafasan melalui tiub di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Semakan rekod lampau mendapati, suspek tiada rekod jenayah dan saringan ujian air kencing ke atasnya didapati negatif, manakala kanak-kanak perempuan itu telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumahnya
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








