BERITA SEMASA

CPC, RMC langkah penting lindungi kanak-kanak di dunia digital – Young Syefura

BENTONG – Pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 dilihat langkah penting dalam memperkukuh perlindungan kanak-kanak di ruang digital.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, cabaran terbesar ibu bapa hari ini bukan lagi sekadar mengawal pergerakan anak-anak di luar rumah, sebaliknya memastikan keselamatan mereka ketika berada di alam siber.

Menurut beliau, kanak-kanak kini terdedah kepada pelbagai ancaman termasuk buli siber, penipuan dalam talian, kandungan tidak senonoh serta risiko pemangsa seksual.

“Saya menyambut baik pelaksanaan CPC dan RMC di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang mula berkuat kuasa 1 Jun 2026.

“Langkah mengetatkan perlindungan termasuk mekanisme pengesahan umur bagi pengguna bawah 16 tahun adalah satu keutamaan mendesak demi keselamatan anak-anak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, walaupun penggunaan gajet dan internet penting untuk pembelajaran serta perkembangan generasi muda, namun aspek keselamatan dalam talian tidak boleh dikompromi.

“Kita mahu anak-anak meneroka internet dalam persekitaran yang selamat, bersih dan sesuai dengan usia mereka,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, tanggungjawab mewujudkan ruang digital selamat tidak wajar diletakkan sepenuhnya kepada ibu bapa sahaja.

Sebaliknya, penyedia platform media sosial perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan mengutamakan keselamatan pengguna berbanding keuntungan.

“Usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, platform digital, sekolah, komuniti dan institusi keluarga.

“Hanya kerjasama menyeluruh mampu memastikan persekitaran digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak pada masa depan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button