BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Juara Travel meterai perjanjian RM30.9 juta dengan Saudi Airlines

BANGI – Juara Travel & Tours Sdn Bhd terus membuktikan keunggulan sebagai peneraju industri pelancongan Islam tanah air apabila memeterai perjanjian strategik bernilai RM30.9 juta bersama Saudi Airlines.

Menerusi perjanjian itu, Juara Travel & Tours sekali gus gus menjadi agensi pelancongan tempatan yang diberi kepercayaan penuh untuk menguruskan 10,000 tempat duduk penerbangan bagi pelanggan syarikat itu.

Pengarah Urusan Juara Travel, Rosnah Wagino berkata, kejayaan syarikat selama 25 tahun berpaksikan kepercayaan pelanggan dan keutuhan jenama yang dibina dengan dedikasi serta profesionalisme tinggi dalam setiap aspek pengurusan umrah, haji dan pelancongan.

“Dengan pengalaman lebih 25 tahun serta pasukan profesional yang komited, kami yakin mampu terus memberi khidmat terbaik untuk memastikan setiap jemaah menunaikan ibadah dengan tenang, selesa dan terbimbing,” katanya.

Terdahulu, perjanjian bersejarah itu dimeterai sempena Majlis Gemala Juara, Sambutan 25 Tahun & Apresiasi Alumni Haji yang berlangsung meriah di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), di sini, baru-baru ini.

Majlis tersebut turut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan dihadiri lebih 450 alumni haji, rakan strategik.

Selain Saudi Airlines, dua lagi perjanjian penting turut dimeterai bersama Muassasah Matrafy dan Saraya Al Ansar International Company di Tanah Suci.

Kerjasama itu bakal memastikan kelancaran urusan penginapan, pengangkutan serta kebajikan jemaah di Mekah dan Madinah selain menyediakan kemudahan bertaraf tinggi kepada pelanggan Juara Travel.

Sebagai rekod, sejal menerima lesen rasmi sebagai pengelola haji daripada Lembaga Tabung Haji pada tahun sama, Juara Travel terus mengekalkan kepercayaan pelanggan dan kini memperoleh lesen baharu bagi musim haji 2026.

Juara Travel

Juara Travel kini menawarkan empat kategori utama pakej haji, iaitu Ekonomi, Standard, Premium dan Premium Plus dengan harga bermula RM47,890 hingga RM125,000 bagi pakej paling eksklusif.

Antara keistimewaan yang disediakan termasuk penginapan dalam radius 500 meter dari Masjid Al-Haram, makan tiga kali sehari, tiket tren laju antara Madinah dan Mekah, serta bimbingan pengiring profesional.

Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan sempena sambutan jubli perak, Juara Travel turut melancarkan kempen ‘25 Tahun Kekal Juara Bonanza’.

Kempen itu menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk dua buah kereta Perodua Axia, 10 pakej umrah percuma, lima pakej percutian ke Turki, dua motosikal Honda Wave serta pelbagai hadiah istimewa lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button