
Lebih 53 peratus pendeposit Tabung Haji miliki simpanan bawah RM1,300
KUALA LUMPUR – Lebih separuh daripada 9.7 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) dikenal pasti mempunyai simpanan kurang RM1,300, sekali gus menuntut pelaksanaan langkah strategik yang lebih tersusun, sistematik dan mampan bagi membantu persiapan ibadah haji.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, berdasarkan data TH, antara faktor utama penangguhan tawaran haji sebelum ini adalah simpanan tidak mencukupi selain masalah kesihatan, urusan peribadi serta faktor lain.
“Purata pendeposit juga didapati tidak membuat simpanan secara konsisten bagi persiapan haji,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai langkah kerajaan bagi mempermudah akses pendeposit TH menunaikan ibadah haji tanpa perlu bimbang masalah kewangan dan kesihatan, sekali gus memastikan mereka tidak ketinggalan atau menolak tawaran ibadah haji seperti musim lalu.
Mengulas data terkini, Marhamah berkata, daripada 18 peratus pendeposit yang menangguhkan tawaran haji bagi musim 1447 Hijrah, sebanyak 10 peratus berbuat demikian kerana simpanan tidak mencukupi, manakala 36 peratus disebabkan masalah kesihatan, 37 peratus faktor peribadi dan 17 peratus faktor lain.
Sehubungan itu, katanya, TH kini melaksanakan inisiatif simpanan sistematik jangka panjang bagi membantu pendeposit merancang simpanan haji secara lebih berdisiplin, selain memperkasakan pendidikan bakal jemaah dengan memanggil mereka mengikuti kursus asas seawal dua tahun sebelum tahun giliran.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan langkah TH menetapkan syarat simpanan minimum RM15,000 dalam akaun bagi melayakkan pendeposit menerima surat tawaran haji telah membantu mencatat penurunan ketara dalam kadar penangguhan tawaran ibadah tersebut.
Untuk musim haji tahun ini, katanya, kadar penangguhan tawaran ibadah itu menurun kepada 18 peratus berbanding 50 peratus pada musim lalu.
“Langkah itu antara inisiatif pembaharuan menyeluruh yang dilaksanakan TH bagi memastikan bakal jemaah memenuhi syarat istitha’ah khususnya dari segi kewangan.
“Ibadah haji memerlukan persediaan rapi berteraskan prinsip maqasid syariah dengan empat elemen utama perlu dipenuhi iaitu kewangan mencukupi, kesihatan yang baik, keselamatan perjalanan serta kebenaran atau kuota daripada Kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Penetapan simpanan minimum RM15,000 yang dilaksanakan sejak tahun lalu itu juga merupakan kadar bayaran haji paling rendah dan berfungsi sebagai mekanisme saringan bagi mengenal pasti bakal jemaah yang benar-benar bersedia dari segi kewangan pada tahun giliran mereka.
Menjawab cadangan supaya tawaran haji dibuat lebih awal, Marhamah berkata, perkara itu hanya boleh dilaksanakan selepas kos haji dimuktamadkan dan kuota diperoleh, iaitu selepas setiap musim haji berakhir.
Bagaimanapun, katanya, pendeposit boleh membuat semakan awal status haji dan merancang persiapan melalui platform digital THiJARI yang disediakan oleh TH.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








