Dakwaan kaut untung, naikkan kos kepada perayu haji satu salah faham – TH
KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan dakwaan yang tular dalam sebuah video berkaitan peningkatan kos mengerjakan haji dan isu penolakan tawaran haji adalah tidak tepat serta berunsur salah faham.
Dalam satu kenyataannya, TH menjelaskan bahawa institusi itu tidak pernah mengambil sebarang keuntungan daripada bayaran haji yang dikenakan kepada jemaah sebaliknya bayaran tersebut adalah sebahagian daripada kos sebenar menguruskan setiap jemaah haji.
Katanya, bagi musim haji 1447H/2026M, kos sebenar haji adalah sebanyak RM33,300 bagi seorang jemaah, selaras dengan peningkatan kos global yang berlaku setiap tahun.
“Walaupun berdepan kenaikan kos, TH masih menanggung sebahagian besar perbelanjaan jemaah khususnya daripada kumpulan B40 dan M40. Sebanyak RM210 juta diperuntukkan sebagai bantuan haji bagi musim berkenaan.
“Melalui bantuan itu, jemaah B40 menikmati pengurangan bayaran sehingga 55 peratus berbanding kos sebenar, manakala jemaah M40 membayar 29 peratus lebih rendah,” kata TH hari ini.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa peranan dan mandat TH termaktub dalam Akta Lembaga Tabung Haji 1995, iaitu bertindak sebagai institusi simpanan umat Islam untuk menunaikan ibadah haji serta mengurus segala hal berkaitan pelaksanaannya di Malaysia.
Mandat ini selaras dengan asas penubuhan TH seperti yang dicadangkan oleh Profesor Ungku Aziz menerusi Kertas Kerja Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-Bakal Haji pada tahun 1959.
Baru-baru ini tular video seorang pempengaruh yang mendakwa kos TH mencari ‘untung mudah’ apabila kos mengerjakan haji meningkat kira-kira dua kali ganda selepas membuat rayuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








